Demi survival negara: Pemimpin, ahli, penyokong Umno-Pas diseru ikut jejak Rafidah

Demi survival negara: Pemimpin, ahli, penyokong Umno-Pas diseru ikut jejak Rafidah

Tan Sri Rafidah Aziz disifatkan sebagai seorang ahli dan penyokong sebuah parti yang boleh dicontohi dikalangan ahli dan penyokong Umno-Pas, kata Ahli Parlimen Pas  Datuk Mahfuz Omar.

“Sememenangnya begitulah sifat ahli, penyokong dan pemimpin parti politik dalam soal ‘kesetiaan’ hingga sampai tahap taksub kepada parti politik dan pemimpinnya yang sudah jauh tersasar dari hala tuju perjuangan, mementingkan diri sendiri, menghambakan ahli-ahli, dan menyalahgunakan kedudukan.

“Saya yakin, ramai ahli parti politik itu tahu bahawa pemimpin mereka melakukan kesalahan, tetapi tidak berani menegur atau berubah kerana bimbang dianggap menderhaka, pengkhianat, jahat dan lain-lain.

“Justeru mereka mengambil sikap mendiamkan diri dan hanyut dalam arus parti sendiri yang semakin reput dan condong menanti rebah.

Datuk Mahfuz Omar

Bagi saya ianya bukan saja merubah pemikiran ahli Umno tetapi merupakan juga keperluan merubah ketaksuban ahli-ahli Pas,” ujarnya dalam kenyataan.

Rafidah adalah bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri (1987-2008) paling lama  memegang jawatan dan bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno (1984-1996).

Mahfuz  berkata demikian kerana merujuk kepada tulisan Rafidah secara lantang pada 24 Mac lalu dan sebelum ini yang kerap menggunakan laman facebooknya untuk mengkritik kerajaan Umno-BN walaupun beliau masih ahli kepada parti keramat orang Melayu itu.

Mahfuz menyakini tulisan  Rafidah pasti ditujukan terus kepada  penyokong, ahli dan pimpinan parti politik pemerintah khususnya Umno.

“Rakyat dan ahli Umno khususnya diingatkan  agar jangan terlalu terikat kepada parti itu selamanya. Saya berpendapat bahawa Tan Sri Rafidah sedang berusaha untuk meleraikan doktrin ‘pemikiran karut’ ahli Umno bahawa tanpa Umno negara akan musnah*, tanpa Umno Melayu akan mundur, akan diperintah oleh bangsa lain, negara akan dijajah, bangsa Melayu akan merempat, Islam akan hilang dari negara dan macam-macam lagi khurafat yang ditanam dalam minda ahli-ahli,” ujarnya.

Justeru bekas naib presiden Pas ini yang telah menyertai parti AMANAH Negara berkata, ahli Pas tidak perlu terlalu sentimental dan taksub dengan parti dan pemimpin.

“Bagi saya ianya bukan saja merubah pemikiran ahli Umno tetapi merupakan juga keperluan merubah ketaksuban ahli-ahli Pas.

“Pandangan Tan Sri Rafidah senada dan sependapat sama dengan majoriti rakyat di negara ini yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

“Golongan ini (tidak terikat dengan parti politik) dikenali sebagai pengundi berpengetahuan (knowledge voters) yang akan menjadi  penentu kuasa politik dan pemenang dalam pertarungan pilihan raya.

“Kelompok ini adalah kumpulan terbanyak dan mewakili majoriti rakyat di negara ini.Maka kepada golongan inilah semua parti politik sibuk merayu, berkempen, memujuk dan mengugut agar mereka memberikan undi,” ujarnya.

Oleh itu, ujarnya lagi, ‘pengundi semasa’ mesti melihat keutamaan dan tidak tertipu dengan sandiwara  oleh parti pemerintah menjelang saat akhir Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

“Soal ‘makan dedak’, termakan budi dengan pelbagai bantuan seharusnya ditolak tepi demi melihat perkara yang lebih utama iaitu masalah rakyat dan negara.

“Isu ekonomi rakyat dan negara yang semakin menghimpit, penyelewengan dalam pemerintahan negara, skandal dan korupsi, kezaliman dan penindasan adalah masalah pokok yang utama dan mesti diselesaikan oleh rakyat.

“Jangan kerana menjelang musim PRU ke 14, dengan pelbagai ‘habuan turun dari langit’, projek segera, pemimpin tiba-tiba hipokrit mesra dan merakyat dengan duduk di dapur rumah rakyat.

“Pemimpin yang muncul hanya lima tahun sekali tiba-tiba hadir ziarah tiga empat kali dalam sehari boleh mengubah persepsi dan keutamaan kita semua.

“Anggaplah itu semua adalah sementara, dan selepas PRU ke 14 semua habuan itu hanya tinggal mimpi, dan pemimpin yang dilihat ’live’ depan mata sekarang ini entah bila akan kelihatan lagi,” ujarnya.

Katanya lagi,negara perlukan perubahan dan sekarang adalah masanya untuk rakyat bangkit membuat perubahan bagi ‘bina semula negara’ dakwanya, yang telah buruk di mata dunia.

Sudah tiba masa ujarnya, kepimpinan negara diserahkan kepada pemimpin yang tidak mementingkan perut sendiri dan parti yang amanah, adil, telus, bertanggungjawab dan jujur.

“Pemimpin dan parti yang sedang berkuasa menguasai kerajaan Malaysia sekarang mesti dihumban kerana telah terpalit dengan pelbagai skandal, penipuan, mementingkan diri sendiri, zalim dan menghambakan rakyat.

“Kita dapat melihat contoh bagaimana negara lain telah mengubahnya dan menikmati iklim demokrasi sebenar. Malaysia perlu bergerak ke arah itu, dan pengundi bebas dari kongkongan parti adalah penentunya,”terangnya.

 

9.7
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS