Malaysia Dateline

Demo #TangkapAzamBaki: Polis digesa sahkan dakwaan 58 jalan di KL ditutup

Penganjur demonstrasi #TangkapAzamBaki mendakwa polis akan menutup sebanyak 58 jalan di seluruh Kuala Lumpur esok bagi menghalang orang ramai menyertai himpunan aman tersebut.

Dikatakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyekat kesemua laluan berkenaan Sabtu ini melalui Op Aman.

Menerusi kenyataan media Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki, gabungan itu menggesa PDRM mengesahkan kesahihan arahan tersebut yang sekaligus akan menghalang daripada perhimpunan berlangsung.

Mereka juga mahu mengetahui adakah sekatan jalan itu angkara pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Lockdown ini dijangka untuk menghalang perhimpunan #TangkapAzamBaki yang bakal berlangsung pada jam 11 pagi akibat skandal berkait Azam Baki, KP @SPRMMalaysia.

“Jika benar, lockdown ini lebih dahsyat daripada lockdown mencegah COVID-19 yang dikenakan waktu PKP tahun 2020 dan 2021.

“Lockdown sebegini yang bertujuan menyelamatkan seorang yang telah menimbulkan pelbagai persoalan di seluruh negara adalah tidak wajar,” katanya.

Semalam aktivis Adam Adli, yang dianggap antara tulang belakang perhimpunan itu, berkata perhimpunan esok diteruskan seperti dirancang.