Malaysia Dateline

Demografi pengundi boleh beri kelebihan kepada PH

Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang besar untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan 13 April depan memandangkan demografi pengundi di kawasan itu tidak sama dengan DUN Semenyih, Selangor.

Pengerusi PH Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata dengan strategi yang telah dirangka berserta calon boleh menang, PH mampu menawan kerusi yang dianggap kubu kuat UMNO tersebut.

“Kita kena lihat dalam politik ini kita tidak bergantung kepada persepsi sahaja tapi kita kena lihat demografi dan geografi di sesuatu tempat. Kita tahu pengundi-pengundi di sesuatu tempat itu tidak sama bilangannya, di samping itu juga kita melihat potensi di Rantau adalah tidak sama di Semenyih.

“Jadi bagi saya PH yang turun sebagai ‘underdog’ akan turun sebagai pesaing dan kita rasa kita mempunyai peluang,” katanya  selepas Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai kemungkinan kerjasama pembangkang PAS dan UMNO akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) pada PRK itu.

Mengenai desas-desus Naib Ketua Cabang PKR Rembau Datuk Hanif Hassan dan bekas Duta Malaysia ke China Datuk Iskandar Saharuddin antara nama yang berpotensi dicalonkan pada PRK itu, Aminuddin yang juga Menteri Besar, berkata terdapat ramai calon dikemukakan.

 “Waktu untuk kita umumkan calon lama lagi… kita sentiasa terbuka siapa nak jadi calon boleh hantar nama,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK DUN Rantau akan diadakan pada 13 April ini dengan penamaan calon pada 30 Mac manakala hari mengundi awal ditetapkan pada 9 April.