Demokrasi angka

Dakwaan penglibatan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menubuhkan kerajaan baru melalui pintu belakang dengan mengenepikan DAP dan Amanah mengingatkan saya kepada satu proses demokrasi yang dinamakan demokrasi angka.

Sejauh manapun kita berkempen, berpolitik atau mengatur strategi untuk membangunkan negara, akhirnya demokrasi kita dirumuskan dengan mudah oleh barisan angka-angka, iaitu jumlah kerusi parlimen yang dimenangi.

Dengan kata lain, amat sedih sekali persoalan demokrasi kita hari ini bukan lagi soal pemaknaan dan pengisian yang dihayati dalam kehidupan keseharian, tetapi sudah disimplikasikan menjadi sekadar urusan undi lima atau empat tahun sekali dalam bentuk kiraan kerusi parlimen bersifat majoriti mudah, atau majorti dua pertiga.

Ini berikutan Pakatan Harapan (PH) membuat kenyataan mengejutkan – mendakwa Hishammuddin Hussein mengadakan komplot untuk menubuhkan kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah. (Malaysiakini, 18 Oktober 2019)

Dan ini jelas terlihat kepada akhirnya ialah pengiraan kerusi untuk berkuasa daripada dakwaan komplot menubuhkan kerajaan baharu. Jika semua anggota parlimen Bersatu (27), BN (40), dan Pas  (18) bersatu dengan 18 anggota parlimen PKR yang menyokong Azmin, dan juga tiga anggota parliman Gabungan Bersatu Sabah dan dua anggota parlimen Bebas, jumlahnya hanya 108 kerusi parlimen.

Jumlah itu kurang empat kerusi daripada 112 kerusi yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan.

Bagi memastikan penubuhan kerajaan baharu berjaya, pengatur strateginyaatau dalang terlibat perlukan sokongan Warisan di Sabah atau GPS di Sarawak. Warisan ada sembilan kerusi parlimen manakala GPS ada 18.

Memandangkan jumlah kerusi Parlimen PH adalah 129 berbanding pembangkang 83, dakwaan konflik dalaman antara parti-parti gabungan PH untuk menguasai kerajaan, menjadi rebutan antara parti-parti PH yang menang kerusi terbanyak di Parlimen pada PRU ke-14.

Media sosial pula menguar-uar kononnya DAP yang memiliki 42 kerusi Parlimen menekan Dr Mahathir menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, pemimpin PKR yang memiliki 50 kerusi Parlimen seperti dipersetujui kepimpinan PH apabila mereka memenangi PRU ke-14 dan membentuk kerajaan pusat.

Dengan itu, jawatan perdana menteri yang disandang oleh Bersatu yang menguasai hanya 16 kerusi Parlimen kini menjadi tanda tanya malah rebutan antara Bersatu dan PKR.

Manakala, lain-lain parti PH seperti Amanah yang menguasai 11 kerusi dan Warisan di Sabah yang menguasai sembilan kerusi Parlimen dikesan memberi sokongan kepada Dr Mahathir.

Taburan jumlah kerusi Parlimen tersebut menimbulkan spekulasi kononnya PH kini menghadapi cabaran untuk mempertahankan jawatan perdana menteri.

Gabungan parti di dalam PH juga dilihat kurang stabil malah dijangka pecah pada bila-bila masa sahaja.

Pada masa yang sama, barisan pembangkang yang terdiri daripada 83 kerusi Parlimen termasuk Umno (37), PAS (18), Gabungan Parti Sarawak (18), Gabungan Bersatu Sabah (4) dan Bebas (3), MIC (1) dan MCA (1) kelihatan lebih stabil malah lebih bersemangat untuk menyerang PH.

Sebelum ini terdapat juga percaturan jika kononnya Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali keluar dari PKR dengan bergabung dengan Gerakan, atau menubuhkan parti baharu atau menyertai Bersatu, setengah daripada kerusi parlimen PKR akan dibawa bersama.

Satu mesej melalui WhatsApp yang tular pada Rabu kononnya Azmin akan membawa 10 pemimpin PKR menyertai Bersatu dalam masa terdekat. (Awani, 25 Julai, 2019)

Setiausaha politiknya Hilman Idham menjelaskan adalah sesuatu yang mustahil bagi Azmin untuk meninggalkan PKR kerana ia adalah asas politiknya.

“Malangnya, itu tidak akan berlaku. Mohamed Azmin akan tetap bersama PKR,” katanya yang juga Timbalan Ketua AMK.

Hilman menegaskan Azmin mempunyai dukungan yang cukup kuat dalam kalangan pimpinan PKR sama ada dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita.

Andaikan Azmin menyertai PKR, kerusi Parlimen Bersatu akan bertambah menjadi 26 (daripada 16) dan kerusi Parlimen PKR menjadi 40 kurang daripada DAP.

Itu yang disebutkan di atas penubuhan kerajaan baharu gabungan parti Bersatu bersama pembangkang menjadi 108 kerusi Parlimen, masih berkurangan 4 atau 5 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Apa yang ingin saya utarakan bahawa demokrasi angka itu memiliki jebakan-jebakan yang menggugat rasionaliti mereka yang mengundi. Ia mempersempitkan makna demokrasi menjadi sebagai suatu prosedur, di mana kesan yang lain adalah ia berkecenderungan memungkinkan political framing atau pembikaian politik – atau dalam istilah teori komunikasi dipanggil agenda setting.

Oleh itu soal angka dalam demokrasi selalu menjadi penting. Angka-angka itu merangkai kemenangan, kekuasaan dan tidak lupa manipulasi.

Bayangkan bagi rakyat yang mengundi parti yang dihajati untuk berkuasa dan menang memeritah kerajaan tetiba atas beberapa kepentingan politik yang dikira strategik dan pragmatik, parti yang berkuasa dapat sahaja menyingkirkan parti lain yang menang dalam pakatan kerajaan dan bergabung dengan parti pembangkang atau parti yang kalah dalam pilihan raya untuk berkuasa menubuhkan kerajaan baharu.

Oleh itu di mana kiranya dapat dinilai penglibatan politik warga negara yang hendak diukur melalui keikutsertaan dalam pilihan raya sekiranya pada akhirnya kuasa disimpulkan dengan angka.

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)