Malaysia Dateline

Demokrasi C-19

Jika terdapat satu pengajaran yang kita perolehi daripada lebih dua bulan PKP (kesan daripada Covid-19 (C-19) ialah langkah darurat drakonian dalam politik yang telah menjadi semacam kelaziman baharu (kononnya). Di negara kita dengan kesempatan langkah PKP, Perikatan Nasional (PN) telah menggerakkan jentera politik dengan tujuan mengukuhkan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri.

Kita semua adalah tertakluk kepada sejumlah peraturan yang baik untuk tetapi pada yang sama telah mengekangkan kegiatan politik pembangkang. Kerajaan kita seolah-olah sedang berusaha melanjutkan masa PKP (dengan niat menjaga kebajikan rakyat) tetapi juga dengan matlamat berbeza daripada segi politik, mempercepatkan segala kegiatan, langkah dan tindakan politik dalam menghampiri jangkaan masa atau tarikh ajal (deadline) PKP.

Pelantikan ahli Parlimen sebagai Pengerusi GLC dan agensi tertentu yang berselindung di sebalik PKP dapat dianggap kesempatan terbaik yang digunakan untuk mengukuhkan sokongan kepada PM dan PN tetapi ia juga sebagai satu tindakan memusnahkan segala inisiatif reformasi ke arah tatakelola baik atau tadbir urus yang dilaksanakan PH sebelum ini.

Inilah realitinya sejak PN membentuk kerajaan, skala serta skop perubahan dalam kalangan pengarah dan pengurusan kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) cukup menggusarkan.

Kadar perubahan pantas lebih mengejutkan memandangkan lantikan ini dibuat PN yang diketuai oleh perdana menteri dan menteri-menteri kanan yang sebelum ini berada dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Malangnya, sejak sekian lama, tabiat buruk yang selalu diamalkan adalah amalan mempergunakan kedudukan kat GLC sebagai platform mendapatkan bantuan kewangan kepada ahli dan parti politik, selanjutnya membentuk kitaran politik wang yang dahsyat. Ini adalah kelaziman lama dalam bentuk baharu menggunakan PKP.

Ini juga bermakna Muhyiddin tidak mempunyai banyak idea atau kreativti dalam mengukuhkan kedudukan selain menggunakan strategi dan taktik lama mengikut bekas parti Umno-nya. Sebabnya mudah iaitu biasanya kerajaan yang memerintah akan melantik ketua-ketua GLC daripada kalangan pemimpin yang pegang jawatan kanan dalam parti politik..Ini akan memudahkannya beliau mendapat sokongan dan pengaruh.

Satu fenomena daripada demokrasi C-19 inilah kebebasan sepihak, pihak kerajaan telah menggunakan PKP untuk menumbangkan beberapa kerjaaan negeri seperti yang berlaku di Melaka, Perak dan kini Kedah.

Demokrasi C-19 menyaksikan geografi dan geopolitik politik negara telah mengalami perubahan di beberapa buah negeri. Perubahan yang berlaku umpama domino dan kacang lupakan kulit yang menyaksikan beberapa pembelotan dan pengkhianatan berlaku apabila satu demi satu negeri jatuh kepada gabungan politik PN.

Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada PH dan langkah pembelotan beberapa Adun PKR telah memberi kesan kepada perubahan tampuk kepemimpinan di beberapa negeri seperti di Johor, Kedah, Melaka dan Perak.

Setakat hari ini, Johor sudah mempunyai Menteri Besar yang baharu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut, Datuk Hasni Mohammad mengangkat sumpah bagi menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Bersatu. Kerajaan PH tumbang di Perak apabila PN kini mempunyai 32 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baru apabila Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, menyokong PN.

Di Melaka, Barisan Nasional (BN) mengumumkan ia berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu menerusi gabungan bersama Bersatu. Melaka juga dikuasai oleh Umno apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali, dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Melaka mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri, di sini petang ini.

Di Kedah, sehingga rencana ini ditulis dikatakan Kedah akan menerima Menteri Besar yang baharu daripada PAS.

Ketika ini, Pas memiliki kerusi paling banyak dalam DUN Kedah iaitu 15, PKR (7), Bersatu (6), Amanah (4), BN (2) dan DAP (2).

Di Sabah, kerajaan negeri diketuai oleh Warisan dan PH hanya sekadar rakan kongsi, yang mana ia masing-masing terdiri daripada Warisan (31), Bersatu (6), DAP (6), UPKO (4) dan PKR (2). Bagi negeri-negeri lain, PH mungkin akan mengekalkan Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, BN mengekalkan Pahang dan Perlis manakala Pas terus berkuasa di Kelantan dan Terengganu.

Terdengar juga ura-ura kem Azmin dan kartel sedang merancang untuk mengambil alih negeri Selangor tetapi telah dinafikan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari Amirudin menepis khabar angin bahawa sejumlah Adun PKR di negeri itu kini sedang menunggu waktu yang sesuai untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Menyuarakan keyakinannya terhadap para Adun PH di Selangor, Amirudin berkata beliau yakin khabar angin itu adalah percubaan untuk mengalih perhatian daripada masalah yang dihadapi kerajaan Perikatan Nasional (PN). “Mereka yang buat cerita itu hanya bermimpi di siang hari. Saya yakin dengan sikap para adun kita yang tegas”.

Demokrasi C-19 juga menyaksikan instituisi Parlimen dilumpuhkan tidak bersidang, hanya bagi urusan Titah Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Di samping itu hanya organisasi media milik kerajaan dibenarkan memasuki bangunan Parlimen bagi membuat liputan persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei ini.

Arahan itu terpakai untuk petugas media sama ada di dalam mahupun di luar ruang Dewan Rakyat. Namun Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata tiada had dalam pelaporan mengenai pembukaan penggal Parlimen pada 18 Mei ini walaupun hanya media rasmi dibenarkan membuat liputan.

Mengulas gesaan beberapa pihak supaya organisasi media lain turut dibenarkan membuat liputan, katanya beliau percaya keputusan itu dibuat bagi memastikan perjarakan sosial dipatuhi dalam situasi negara masih berdepan dengan wabak Covid-19.

Ini seolah-olah mengingatkan kita kembali kepada era BN apabila media pembangkang telah disekat daripada membuat liputan program kerajaan negeri dan pusat.

Demokrasi C-19 juga menyaksikan aturan 6D dalam parlimen iaitu Datang, Duduk, Diam, Dengar, Dilarang bercakap D ke-6 ialah DAN balik!!!! Lakaran kartun Zunar telah menyatakan segala-galanya.

Demokrasi juga tidak harus menjadi mangsa kepada C-19, pandemik korona yang menular ke atas rakyat di negara ini tidaklah sampai perlu memberi alasan untuk virus menyerang instituisi parlimen dan demokrasi di negara ini juga.

Dalam hubungan ini kerajaan tidak seharusnya menafikan hak demokratik rakyat yang mahukan ketelusan dan akauntabliti. Keutamaan Parlimen untuk yang menjadi semak dan imbang kepada cabang eksekutif tidak boleh dikesampingkan, terutamanya bagi memastikan agenda penting untuk membahas dan meluluskan perundangan dan belanjawan utama yang berkaitan dengan kesan Covid-19 dapat dijalankan oleh Parlimen.

Dengan perlonggaran perintah kawalan pergerakan oleh kerajaan PN yang mengizinkan perniagaan di seluruh negara untuk memulakan operasi pada 4 Mei, walaupun dengan syarat yang ketat, kenapakah kerajaan PN mengurung atau meng-PKP-kan, memenjarakan untuk mengadakan sidang Parlimen sebagaimana biasa atau paling singkat selama dua minggu, terutamanya dengan pilihan yang ada untuk mengekalkan perjarakan sosial.

Melalui demokrasi C-19, Malaysia ketika ini seolah-olah menjadi negara yang lumpuh semangat demokrasinya.

* Kolumnis adalah seorang pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran di Universiti Selangor (Unisel).