Malaysia Dateline

Demokrasi di Malaysia hancur, negara diperintah pencuri dan penyamun

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia hari ini sedang berhadapan dengan kehancuran demokrasi, suatu sistem yang dipilihnya untuk menerajui negara setelah merdeka.

Malaysia hari ini disifatkan sebagai kleptrokrasi, sebuah negara yang diperintah oleh pencuri dan penyamun. Tetapi lebih daripada itu, Malaysia adalah sebuah negara yang tiada undang-undang, pemerintah boleh berbuat apa sahaja yang disukai, kata beliau dalam tulisannya yang disiarkan dalam blognya Chedet hari ini.

“Kita pilih demokrasi kerana kita percaya rakyat akan memerintah negara, bukan pemerintahan secara terus tentunya tetapi melalui wakil-wakil yang dipilih.

“Kita percayajika pemerintah yang dipilih gagal berkhidmat untuk rakyat, mereka akan ditolak dan pememrintah baharu dipilih menggantikan mereka.

“Tetapi malangnya, sistem ini terbuka untuk disalahguna. Proses pemilihan boleh dimanipulasi. Terdapat pelbagai cara melakukannya seperti yang kita alami hari ini,” kata beliau.

Paling utama kata Mahathir, Suruhanjaya Pilihan Raya yang sepatutnya bebas berada di bawah kawalan kerajaan.

“Ia bermula dengan persempadanan kawasan pilihan raya. Sempadan boleh dipindahkan, pusat mengundi diubah, nama-nama pengundi boleh ada dan tiada dan muncul di tempat lain.

“Merasuah pengundi dibuat terbuka. Laporan kepada pihak berkuasa berakhir dengan tiada tindakan. Selain wang ringgit, peralatan dapur turut diedarkan.

“Parti-parti pembangkang ditekan, dicari-cari kesalahan, jika jumpa, pendaftaran dinafikan atau ditangguhkan,” katanya lagi.

Sambungnya, kakitangan kerajaan terlibat menguruskan pengundian dan ramai daripadanya diarahkan untuk memihak kepada calon-calon kerajaan.

Pegawai-pegawai dalam agensi dan syarikat kerajaan diberitahu supaya mengarahkan kakitangannya memastikan sokongan mereka kepada parti kerajaan. Mereka diugut akan disingkirkan jika tidak berbuat demikian, katanya.