Negara kini bukan sahaja berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang tidak dapat dilihat, bahkan juga langkah pemimpin politik yang sibuk dengan rampasan kuasa sehingga tidak sedar ‘mangsa’ keadaan yang sebenar adalah demokrasi berparlimen dalam negara.
Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, bermula dengan Langkah Sheraton, ‘korban jiwa’ yang paling terkesan namun tidak dapat dilihat adalah integriti, keadilan, kepercayaan nasional dan solidariti dalam negara.
Beliau menyentuh beberapa buah negeri yang ketika ini sudah menjalankan sidang Dewan Undangan Negeri mereka namun tidak pula bagi Muhyiddin yang masih mahu mengunci Parlimen.
“Dewan Undangan Negeri Perlis semalam mengadakan sesi penuh, begitu juga DUN Sabah yang bersidang selama tiga hari serta DUN Pulau Pinang dan Selangor.
“Bolehkah Perdana Menteri jelaskan alasan mengapa mesyuarat Parlimen pada Isnin hanya membenarkan anggota Parlimen mendengar titah Diraja.
“Malah, seluruh mesyuarat ditangguhkan dalam waktu kurang dari satu jam, ketika DUN di Perlis, Sabah, Pulau Pinang dan Selangor dapat bertemu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, tindakan penguncian Parlimen ketika ini menyebabkan rakyat semakin menanggung derita oleh kerana tiada lagi pengawasan terhadap tindakan kerajaan khususnya untuk mencegah penyalahgunaan kuasa, korupsi dan kleptokrasi serta pelanggaran hak asasi manusia.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, turut membangkitkan isu pelantikan seorang anggota Parlimen PN sebagai Pengerusi GLC selepas pengumuman kerajaan bahawa semua ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan akan memegang jawatan dalam syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (GLC).
Dakwanya, itulah juga permulaan PN yang menampakkan sikap mengutamakan Langkah Sheraton demi merampas kuasa berbanding mementingkan ‘korban’ sebenar yang tidak dapat dilihat dalam situasi pandemik Covid-19.
“Bilakah ia akan berakhir? Ini akan menjadi landasan yang subur untuk kembalinya kes-kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang berleluasa,” ujarnya lagi