Demokrasi satu budaya, bukan undi 5 tahun sekali

Demokrasi satu budaya, bukan undi 5 tahun sekali

 

Demokrasi harus difahami sebagai satu budaya yang membolehkan setiap rakyat berhak memberi pandangan dan pemerintah mesti bertindak mengikut kehendak majoriti dalam mengendalikan sebuah kerajaan.

Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Profesor Datuk Dr Siddiq Fadzil berkata ramai yang memahami erti demokrasi adalah mengundi lima tahun sekali.

“Bila sudah dipilih, kerajaan boleh bertindak apa sahaja walaupun bertentangan dengan suara dan kepentingan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di seminar politik Islam dan demokrasi di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, semalam.

Muslim demokrat pula katanya diperkenalkan oleh tokoh-tokoh gerakan Islam termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, BJ Habibie, Abdullah Gul dan Rashid al-Ghannushiy yang percaya Islam mampu dilaksanakan melalui budaya demokrasi.

“Malangnya, demokrasi yang kononnya menjadi amalan dalam masyarakat baru yang maju dicemari dengan leluasanya.

“Misalnya, dalam masyarakat atau negara yang dikatakan mengamal demokrasi tidak ada langsung pendidikan tentang demokrasi,” katanya.

Subjek demokrasi katanya hampir tidak diajar dalam semua peringkat pendidikan.

“Akibatnya hampir semua orang tidak tahu apa yang sebenarnya boleh dan tidak boleh dalam pelaksanaan demokrasi,” katanya.

Satu lagi rukun demokrasi katanya yang selalu dicabul di mana-mana ialah kebebasan.

“Sepatutnya institusi-institusi demokrasi seperti pilihan raya, parti politik, media dan pertubuhan-pertubuhan sosial membuka ruang kebebasan seluas-luasnya kepada rakyat khususnya bagi memperolehi maklumat.

“Bukan sahaja kerajaan-kerajaan jadi penghalang kebebasan, parti-parti turut bertindak mengongkong supaya ahli tidak bebas.

“Ada parti yang mengajar kepada ahlinya hanya informasi dalam parti sahaja mesti diterima manakala informasi dari luar dilarang sama sekali,” katanya.

Dalam hal ini menurut beliau Islam yang bermisi tahriri (merdeka) tidak harus dipalit dengan penindasan seperti ini.

“Perbincangan mengenai fiqh at taharrur (fiqh kebebasan) mestilah jadi keutamaan ulama-ulama Islam yang terlibat dengan demokrasi.

“Kita tidak harus terjebak mewujudkan ulamak penindas yang menyempitkan kebebasan berinformasi di kalangan rakyat,” katanya.

6.0
OVERALL SCORE
: 6.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS