Demokrat mahu rampas semua 11 kerusi di Selatan Thailand

Demokrat mahu rampas semua 11 kerusi di Selatan Thailand

Bahang Pilihan Raya Umum Thailand semakin terasa di sini bila calon perdana menteri merangkap pemimpin Parti Demokrat, Abhisit Vejjajiva turun berkempen di wilayah bergolak di selatan Thailand pada Ahad.

Kira-kira 4,000 penyokong Demokrat membanjiri padang Sekolah Benjamarachutit, Daerah Mueang di sini ketika suhu mencecah 34 darjah Celsius.

Mereka berasak-asak mahu bertemu dengan bekas perdana menteri itu.

Laungan “PM” mengiringi ketibaan Abhisit bersama empat lagi calon parti yang bertanding di Wilayah Pattani.

Berbaju kemeja-T berwarna biru muda, Abhisit, 54, yang tidak pernah kedekut dengan senyuman telah dikerumuni penyokongnya yang mahu bersalaman dengan beliau.

Dalam ucapannya, Abhisit yang pernah memegang jawatan perdana menteri pada 2008 hingga 2011 itu berkata Demokrat, parti tertua di Thailand berikrar untuk menyelesaikan isu berkaitan ekonomi, keselamatan dan rasuah di tiga wilayah berkenaan.

Pada pilihan raya umum 24 Mac ini, 11 kerusi parlimen, masing-masing empat di Narathiwat dan Pattani dan tiga di Yala dalam wilayah bergolak ini, akan menjadi rebutan.

Pada pilihan raya umum 2014, Demokrat memenangi sembilan daripada 11 kerusi itu, iaitu empat di Narathiwat, tiga di Yala dan dua di Pattani.

Abhisit berkata Demokrat berikrar meningkatkan ekonomi penduduk tempatan khususnya para pemilik dan pengusaha kebun getah yang terjejas berikutan ketidaktentuan harga getah di pasaran global.

Dengan ini, taraf hidup penduduk di wilayah Selatan Thailand dapat dipertingkatkan dan sekaligus dapat menangani konflik di wilayah bergolak itu, katanya.

“Cara penyelesaian yang terbaik adalah memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih gabenor sendiri melalui autonomi atau disentralisasi di ketiga-tiga wilayah itu, iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala,” katanya.

Berhubung masalah dadah, Abhisit berkata masalah itu perlu ditangani bersama dengan semua pihak termasuk pegawai kerajaan. Kita perlu menangani rasuah dan masalah dadah bersama juga,” katanya.

Pada tahun 2011, Abhisit meletak jawatan sebagai pemimpin parti Demokrat selepas parti pimpinannya kalah pada pilihan raya umum Thailand kerana mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk parti itu. Parti Demokrat menang 159 kerusi berbanding 172 kerusi sebelum Parlimen dibubar pada ketika itu

Ini merupakan pilihan raya umum pertama selepas rampasan kuasa tentera sejak 2014.

Sejumlah 51,419,975 pengundi yang layak termasuk 7,339,772 yang bakal mengundi buat kali pertama dijangka keluar mengundi dalam pilihan raya umum kali ini.

Sejumlah 68 calon telah dikenal pasti bertanding untuk jawatan Perdana Menteri, termasuk Perdana Menteri Prayut Chan-o-Cha.- BERNAMA