
Demonstrasi aman bantah Kerajaan Negeri Sarawak tolak MPKKP
Sekumpulan penduduk kampung dari pelbagai kampung sekitar Lundu dan Bau dalam Parlimen Mas Gading telah mengadakan demonstrasi aman bagi membantah penolakan Kerajaan Negeri Sarawak berkaitan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di negeri ini.
Jurucakap kumpulan terbabit Francis Tenom berkata, demonstrasi diadakan adalah disebabkan pihaknya telah muak dengan pelbagai bantahan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Ketua Masyarakat serta Ketua Kaum dalam kalangan mereka.
Tegas beliau, terdapat Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum mendakwa bahawa pendapat mereka tidak pernah ditanya oleh pihak atasan dan mereka merasakan tindakan membentangkan kain rentang membantah penubuhan MPKKP adalah sebagai tindakan persendirian dan tidak mewakili suara rakyat akar umbi.
“Untuk makluman, mereka yang hadir hari ini merupakan dalam kalangan pemimpin akar umbi penduduk kampung dan rumah panjang seperti Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG), Ahli Jawatankuasa Gereja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung yang tidak berkepentingan politik.
“Mereka menyuarakan rasa tidak senang hati kerana Kerajaan GPS yang secara terang-terangan menggunakan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai jentera politik mereka pada masa yang lepas dan kini memperkudakan mereka dalam permainan catur politik,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan demonstrasi aman di Kampung Jangkar,Jalan Biawak kira-kira 120 kilometer dari Kuching hari ini.
Rata-rata penduduk yang tinggal di sekitar kawasan ini ialah dalam kalangan masyarakat etnik Bidayuh Salako Lara dan Iban di samping kaum minoriti Melayu dan Cina.
Beliau berkata, untuk rekod setakat ini sebanyak 31 borang MPKK telah diserahkan daripada kampung kampung dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) N1 Opar.
Francis berkata, beliau menjangkakan banyak lagi borang penubuhan MPKKP bakal diserahkan dalam masa terdekat ini.
“Ini menunjukkan penduduk kampung sebenarnya menyokong pembentukan MPKKP tidak seperi yang digambarkan oleh GPS dan boneka KMKK mereka,” ujarnya.