Demonstrasi Tangkap Azam Baki: Peguam Muda AMANAH sediakan khidmat guaman

Oleh ARIF ATAN

 

Fadhli Umar Aminolhuda

Pemuda AMANAH Nasional dan Peguam Muda AMANAH bukan sahaja akan memobilisasi seramai mungkin pemuda untuk demonstrasi aman Tangkap Azam Baki di ibu negara, 22 Januari ini bahkan akan menyediakan khidmat guaman.

Peguam Muda AMANAH, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, sekurang-kurangnya 10 orang peguam akan disediakan pada hari tersebut.

Menurutnya, kumpulan peguam terbabit akan memastikan tiada sebarang tindakan yang melanggar undang-undang sepanjang berlangsungnya demonstrasi yang dijadualkan di Sogo dekat Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma AMANAH Nasional hari ini.

Dalam masa sama, Peguam Muda AMANAH juga katanya, menawarkan khidmat guaman secara pro-bono kepada mana-mana anak muda termasuk mereka yang hanya menyebarkan apa-apa poster berkenaan #TangkapAzamBaki.

Pihaknya turut mendesak supaya tindakan intimidasi seperti dikenakan terhadap kumpulan penganjur unjuk rasa tersebut dihentikan segera.

Pemuda AMANAH Nasional juga mengumumkan akan mengadakan Pentas Pemuda pada malam sebelum demonstrasi aman #TangkapAzamBaki.

Pentas Pemuda itu bakal mengumpulkan wakil dari setiap sayap pemuda parti-parti Pakatan Harapan (PH) selain wakil dari Jawatankuasa Bertindak #TangkapAzamBaki.