Malaysia Dateline

Demonstrasi #TangkapAzamBaki: 3 Pemimpin Pemuda AMANAH dipanggil polis

Beberapa pemimpin tertinggi dari sayap pemuda AMANAH telah dipanggil pihak polis selepas sidang media mereka pagi tadi yang dilaporkan akan menggerakkan satu demonstrasi aman #TangkapAzamBaki 22 Januari ini.

Menerusi satu pemberitahuan, antara yang dipanggil termasuklah peguam Muda AMANAH, Fadhli Umar; Naib Ketua Pemuda AMANAH, Zubair; Pengarah Mobilisasi Pemuda AMANAH, Abbas Azmi.

Mereka akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 12.30 tengahari esok (19 Januari).

Satu sidang media juga akan diadakan sejurus keterangan selesai diambil.

Terdahulu, Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki akan mengadakan demonstrasi di jalan raya pada 22 Januari ini untuk menuntut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap serta-merta.

Jawatan kuasa itu turut menuntut supaya proses undang-undang ke atas Azam bermula segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen.

Demonstrasi aman itu dijadual diadakan pada pukul 11 pagi di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.

Jawatankuasa Bertindak Azam Baki turut mengajak rakyat Malaysia mengibarkan bendera hitam dan gunakan tanda pagar #TangkapAzamBaki serta #RombakSPRM pada setiap posting media sosial.

Pemuda AMANAH juga akan menyediakan sekurang-kurangnya 10 orang peguam untuk memastikan tiada sebarang tindakan yang melanggar undang-undang sepanjang berlangsungnya demonstrasi tersebut.