Malaysia Dateline

Demontrasi: Jernihkan keadaan bukan tambah fitnah, kata KM Melaka

“Sepatutnya kita bertindak atas maklumat keseluruhan yang kita dapat supaya ia dapat menjernihkan lagi keadaan,” kata Ketua Menteri, Adly Zahari.

Memetik laporan Melakakini hari ini, satu demontrasi diadakan berikutan terdapat segelintir pihak yang cuma mengadakan demonstrasi di hadapan Seri Negeri di sini yang cuba memfitnah atas maklumat tidak benar.

“Saya fikir pihak yang terlibat sepatutnya melihat semua maklumat yang kita ada di dalam sidang dewan ini, barulah mereka bertindak.

“Bukannya bertindak atas fitnah dan persepsi yang salah. Kalau kita lihat Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Timbalan Speaker sudahpun meminta maaf.

“Jadi tidak sepatutnya kita mengadakan demonstrasi atas maklumat fitnah yang kita dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Seri Negeri, hari ini.

Jelas Adly, di peringkat kerajaan negeri isu yang berbangkit telah terjawab di dalam persidangan dewan.

“Prinsip kita mesti menjernihkan keadaan, bukan menimbulkan lagi kebencian,” tegasnya.

Demontrasi itu dianjurkan oleh Ummah Melaka yang membantah Timbalan Speaker Dun Datuk Dr Wong Fort Pin (DAP) melarang sepotong ayat al-Quran dibaca oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron ketika dalam perbahasan dalam sidang Dun hari ini.

Seramai lebih kurang 50 orang pendemontrasi berkumpul dihadapan Seri Negeri untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap Timbalan Speaker dan mendesak beliau dipecat atau meletakkan jawatan.

Ini berikutan dakwaan bahawa Adly mempertahankan tindakan Timbalan Speaker itu.