Malaysia Dateline

Demontrasi lagi….Gamis ingatkan Wan Saiful, kerajan PH jika teruskan polisi tekan anak muda

Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) tidak akan teragak-agak untuk melakukan himpunan besar-besaran berkaitan isu hutang Pembiayaaan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika kerajaan meneruskan polisi yang menekan anak muda.

Presidennya Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, himpunan yang pernah diadakan 24 November yang lalu hanyalah amaran awal buat Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan dan kerajaan Pakatan Harapan.

“Sekiranya kerajaan masih angkuh, melaksanakan polisi yang menzalimi anak muda, dan hanyut dengan kemewahan gaji yang besar, Gamis tidak akan teragak-agak untuk mengadakan himpunan yang lebih besar daripada ini.

Apa yang kami perjuangkan bukan sekadar menuntut kerajaan PH tunaikan janji, bahkan ia adalah keperluan yang mendesak buat semua anak muda graduan IPT untuk menangguhkan pembayaran hutang PTPTN sehingga ekonomi mereka stabil seperti yang dijelaskan oleh Bank Negara Malaysia.

“Kami mahasiswa kecewa dengan sikap Pengerusi PTPTN yang telah menikmati gaji yang besar namun malas berfikir untuk mencari jalan keluar daripada polisi yang menekan anak muda khususnya graduan IPTA dan IPTS di seluruh negara. Pengerusi PTPTN terlalu banyak memberikan alasan, sibuk mencari salah orang lain dan tidak nampak usaha yang dilakukan untuk meminda polisi yang menekan anak muda,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Pada 24 November yang lalu, Gamisbersama 400 mahasiswa daripada pelbagai kampus telah berarak daripada Masjid Jamek hingga ke Menara PTPTN untuk memberikan amaran kepada Wan Saiful dan kerajaan PH untuk pembatalkan polisi pembayaran hutang PTPTN yang menzalimi anak muda Malaysia.

Terangnya lagi, Bank Negara Malaysia telah merekodkan di dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 bahawa seorang dewasa bujang perlu memperoleh RM2,700.00 sebulan sebagai gaji minima untuk menyewa bilik, makan di luar, memasak sekali sekala dan menggunakan pengangkutan awam.

Menurut data kajian yang dilakukan oleh KPT (Kajian Pengesanan mahasiswa 2016), sebanyak 89.1% daripada mahasiswa graduan diploma yang bekerja mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000.00 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48% mahasiswa graduan ijazah sarjana muda mempunyai pendapatan RM2,000.00 dan ke bawah.

“Ini adalah fakta jelas yang Wan Saiful kena belajar dan fahami bahawa graduan IPT kebanyakannya berpendapatan di bawah paras gaji minima seperti yang telah ditetapkan oleh Bank Negara.

“Sekiranya polisi mekanisme pembayaran hutang PTPTN Pakatan Harapan diteruskan, maka ia akan menzalimi hidup anak muda Malaysia.

“Kami daripada Gamis bersedia untuk mengajar Wan Saiful bagaimana untuk mengurus PTPTN dan membantu ekonomi anak muda Malaysia sekiranya beliau masih terbuka hati untuk menunaikan janji.

“GAMIS kecewa dengan sikap ambil mudah Pengerusi PTPTN yang terlalu malas untuk mengadakan sidang meja bulat bersama pemegang taruh di seluruh Malaysia.

“Apa yang beliau sibuk lakukan selepas menikmati gaji yang besar ialah menaja di merata tempat bahawa mekanisme untuk menangguhkan pembayaran hutang PTPTN adalah mustahil,” ujarnya.