Malaysia Dateline

“Dengan 107 di sini, campur dengan pihak sana, Kerajaan PN sudah tumbang”

Terkini, Ahli-ahli Parlimen pembangkang sedang berarak dari Dataran merdeka dengan membawa kain rentang ‘Mahiaddin & Kabinet letak jawatan’.

Keadaan dilihat semakin tidak terkawal, bagaimanapun perarakan diteruskan bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan yang menutup sidang Parlimen hari ini.

Dihalang memasuki Parlimen, Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka

Datuk Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH) berkata Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin telah tumbang hari ini kerana kerajaannya sudah tidak mempunyai sokongan majoriti.

Menurut maklumat yang diperoleh Anwar, beberapa pihak dari blok kerajaan sudah pun menyenaraikan nama Ahli-ahli Parlimen yang akan keluar dari barisan kerajaan.

Hari ini kita berhimpun nyatakan bahawa kerajaan Mahiaddin telah tumbang.

“Saya dapat maklumat ada dari parti lain, telah mengemukakan senarai keluar dari barisan PN. Dengan 107 di sini, campur dengan pihak sana, kerajaan sudah tumbang.

“Ini soal tentang pelanggaran hukum, menggunakan kuasa membelakangi rakyat, membelakangi undang-undang, Parlimen dan derhaka kepada Agong.

“Belum pernah berlaku dalam sejarah pelanggaran sebegini rupa oleh perdana menteri dan Kabinet, serta penghinaan kepada institusi raja,” katanya ketika berhimpun di Dataran Merdeka hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu merangkap Presiden AMANAH turut mengecam tindakan kerajaan PN yang tidak mengikut Perlembagaan Negara

Ia turut disokong Mohamad Sabu (Kota Raja-PH) yang mendesak agar Mahiaddin meletakkan jawatan susulan kegagalannya menghormati Raja dan Perlembagaan negara.

“Kami tak pernah merasai seperti ini di zaman Mahiaddin. Dia mesti pergi, dia langgar semua peraturan, langgar Agong, langgar Raja-Raja Melayu.

“Paling penting dia langgar rakyat. Parti politik termasuk Umno kena buat sikap. Sekarang bukan pasal parti mana, tetapi perlembagaan negara sudah dihancurkan Mahiaddin,” katanya.

Turut berucap, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.