Dengan Anwar calon PM paling popular, parti politik menamakan calon hari ini

Oleh BORHAN AHMAD

Mulai jam 8 pagi hari ini pusat-pusat penamaan calon di seluruh negara akan dibuka untuk calon-calon pilihan raya umum ke 15 (PRU-15) menamakan diri mereka untuk 222 kawasan Parlimen dan juga kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh negara.

Dengan calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada pada kedudukan paling atas berdasarkan kajian penganalisis, pertembungan sengit dalam PRU-15 dijangka akan berlaku antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) walaupun Gerakan Tanah Air (GTA) akan turut bertanding.

Kajian yang dibuat oleh Intitut Darul Ehsan (IDE) mendapati Anwar mendapat keyakinan paling tinggi untuk dipilih sebagai perdana menteri.

Menurut kajian di kalangan 2423 respondan mulai 21 – 28 Oktober 2022 itu, Anwar mendapat 29.6 peratus sokongan, Datuk Seri Ismail Sabri (25.9 peratus) manakala Tan Sri Mahiaddin Md Yassin (20.7 peratus).

Keputusan kajian yang dibuat oleh IDE.

Namun begitu kajian yang dibuat oleh Ilham Centre sebelum ini, Ismail Sabri berada di hadapan dengan sokongan 19 peratus responden pelbagai kaum, diikuti dengan Muhyiddin (13 peratus) dan Anwar (11 peratus).

Nama Anwar juga muncul ‘meletup’ atau trending di Twitter menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini.

Rata-rata sembang bual di media sosial itu berkisar tentang kewajaran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya untuk menang pada 19 November ini.

Anwar akan bertanding di Tambun, Perak, Ismail Sabri di Bera, Pahang manakala Mahiaddin akan bertanding di Pagoh, Johor.

Menurut kajian Merdeka Centre pula, sokongan orang Melayu kepada BN jatuh 5 peratus pada bulan Oktober berbanding bulan September tahun ini.

Dengan latar belakang itulah, parti-parti politik akan menamakan calon mereka pagi ini di seluruh negara.

SPR telah menetapkan pengundian awal akan dijalankan pada 15 November manakala hari mengundi untuk PRU-15 adalah pada hari Sabtu 19 November.

Taburan pengundi mengikut umur dalam PRU-15.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 21,173,638 rakyat negara ini layak mengundi dalam PRU-15 ini.

Dari jumlah itu, 10,622,151 adalah wanita manakala 10,551,487 adalah lelaki.

Dari jumlah itu pula, jumlah pengundi yang paling ramai adalah dalam kategori 30 – 39 tahun iaitu seramai 4,681,348 orang.

Buat pertama kali juga tahun ini, pengundi berumur 18 – 20 tahun mengundi. Seramai 1,393,548 pengundi kategori ini boleh mengundi dalam PRU ini.

BACA JUGA ‘Pakat dengan Umno? Kamu bercakap tentang agama tapi menabur fitnah’ – Anwar kepada Hadi JUGA Nama calon PM PH ‘meletup’ di Twitter menjelang hari penamaan calon