Dengan semangat pahlawan, pastikan rakyat tumpaskan pengkhianat negara

Dengan semangat pahlawan, pastikan rakyat tumpaskan pengkhianat negara

Dengan semangat kepahlawanan perajurit yang gugur bermandi darah mempertahan negara tercinta, rakyat diseru berjuang hingga pupusnya sosok durjana bergelar ‘Malaysian Official 1’ pengkhianat dan mejadikan kemenangan rakyat itu satu realiti.

Ketua Pemuda Nasional, Parti Amanah Negara (Amanah), Sany Hamzan dalam perutusan sempena hari pahlawan berkata negara berdepan kemelut pengkhianatan paling besar.

“Sosok durjana bergelar ‘Malaysian Official 1’ tanpa rasa bersalah berkomplot menyeleweng dana yang sepatutnya diurus dengan berhemat dan amanah. Bukan jutaan, bahkan berbillion ringgit!

“Suatu nilai pengkhianatan berskala mega yang tidak pernah terdetik di benak para pendahulu kemerdekaan negara,” katanya.

Tanggal 31 Julai katanya, hari besar buat sekalian perajurit negara yang sedang mahupun yang telah berkhidmat dalam pasukan keselamatan.

“Detik-detik bersejarah mengenangkan gugurnya pahlawan-pahlawan ketika berjuang mempertahankan kedaulatan negara tidak akan pernah luput daripada kotak memori seluruh anak watan,” katanya.

Apa yang menggusarkan menurut beliau ialah apabila jenayah raksasa skandal 1MDB ini menatijahkan ‘kesan domino’.

“Pembongkaran yang dikaitkan dengan urustadbir LTAT sebelum ini merupakan salah satu kes yang memberikan kesan langsung.

“Walau dinafikan pimpinan lembaga, soal kelewatan pembayaran caruman kepada para pesara diakui wujud dan pastinya telah menjejaskan ratusan perajurit yang terlibat.
“Itu baru LTAT, belum dicerita soal wang caruman KWAP!,” katanya.

Ledakan jenayah ini menurut beliau pastinya meletakkan rakyat di dua persimpangan.

“Antara ‘survival’ meneruskan hidup dan berjuang seupayanya demi masa depan.

“Mungkin semangat kepahlawanan perajurit yang gugur bermandi darah itu mampu ditanggap sebagai pedoman.

“Setidak-tidaknya untuk kita kejap berjuang dalam kapasiti masing-masing melengser anasir kebatilan,” katanya.

Beliau menyeru semua pejuang jangan berhenti.

“Pastikan pengkhianat-pengkhianat ini menjadi sejarah masa depan, tanpa takut dan gentar.

“kita jadikan kemenangan rakyat itu satu realiti yang pasti.

“Usah dibiarkan pengorbanan pahlawan-pahlawan terdahulu tersia tanpa kesinambungan.

“Melangkah dan bertindaklah sekarang,” ujarnya.

TAGS