Malaysia Dateline

Dengarlah nasihat The Old Man ni, dah penat dah, kata Tun Mahathir

“Dengarlah nasihat ‘the old man’ ni selagi dia masih hidup. Dah penat dah,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kecelaruan politik yang berlaku sekarang.

“Tak lama dah pun, malah tak rugi,” kata Dr Mahathir ketika mengingatkan rakyat dan pemimpin negara ini tentang pentingnya kestabilan kerajaan.

Mahathir mengungkitkan, sejak kebelakangan ini, apa yang dikatakan beliau menjadi kenyataan walaupun tidak diikuti oleh orang yang dinasihati beliau.

“Bila The Old Man kata ‘Jangan ambik depa, nanti depa buh syarat macam macam. Nanti kita kena jadi pak turut dia’.

“The Old Man betul. Semua orang nampak. Umno ugut itu ini kepada Muhyiddin. Walaupun mula mula nampak Umno terpaksa mengalah,” tulis bekas PM selama dua kali itu.

Beliau dipercayai merujuk kepada pandangan beliau dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sebelum kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dimana beliau menolak untuk bekerjasama dengan Umno secara keseluruhannya.

Namun ketika itu, Muhyiddin bersedia untuk berbuat demikian dan diterima oleh anggota majlis mesyuarat itu dan menolak pandangan Tun Mahathir.

Mahathir juga mengungkitkan kembali cadangan beliau agar Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas beliau meletakkan jawatan dan dijadikan PM Interim.

“Bila The Old Man kata, ‘Kena buh politik kepartian ni ke belakang, masa sekarang dan nanti akan berlaku lagi tak stabil, negara kena diutamakan. Sebab tu dicadangkan kerajaan perpaduan’

“Sekali lagi The Old Man betul. Now, politik negara bertambah tak stabil,” kata Mahathir dalam tulisan di facebook beliau.

Ketika Mahathir mencadangkan agar satu kerajaan perpaduan dibentuk tanpa mengambil kira parti, hampir kesemua parti politik ketika itu menolaknya kerana mereka menganggap beliau mahu berkuasa penuh untuk melantik sesiapa yang beliau kehendaki tanpa mengambil kira parti-parti yang ada.

Namun begitu, Tun Dr Mahathir berkata, dia tidak tahu apa mahu komen dengan apa yang berlaku ini.

“Entahlah. Nak kata padan muka pun, kesian pulak. Tapi saya cuma doakan negara ini kembali aman dan stabil, penat dah,” kata beliau.