Malaysia Dateline

Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil jadi kluster baharu Covid-19

Dr Noor Hisham Abdullah

Sebanyak 35 kes positif Covid-19 dikesan di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil membabitkan kesemua warganegara asing.

Mereka terbabit telah berada di dalam tahanan sejak sebelum bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) masih menyiasat punca jangkitan membabitkan warganegara Myanmar seramai 17 orang, India (15) dan masing-masing seorang warga Sri Lanka, Bangladesh dan Mesir itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini berkata, seramai 645 orang diambil sampel secara keseluruhan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Jelasnya lagi, daripada jumlah itu, 35 kes positif Covid-19, 400 kes negatif dan 210 masih menunggu keputusan.