Malaysia Dateline

Derhaka kepada Agong, Pemuda Umno desak Mahiaddin letak jawatan

Pemuda Umno mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin untuk segera meletakkan jawatannya kerana telah melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Pemudanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata,  tindakan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong sebagai satu bentuk penderhakaan kerana membelakangi titah baginda selaku Ketua Utama Negara.

“Pemuda Umno juga mendesak supaya Ahli-Ahli Parlimen Umno menzahirkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 7 Julai 2021 yang lalu untuk menarik sokongan terhadap Mahiaddin selaku Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf berkata, sebagai sebuah parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan Umno, parti itu tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap kerajaan yang dipimpin Mahiaddin terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebentar tadi, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan tindakan kerajaan yang membatalkan Ordinan Darurat yang dimasyurkan baginda, walhal pembatalan belum lagi diperkenankan.

Menerusi kenyataan dari Istana Negara, Al Sultan bertitah bahawa kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 26 Julai lalu adalah tidak tepat dan mengelirukan Dewan

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen, sebagai gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang