Malaysia Dateline

Derhaka Titah Raja: Laporan polis dibuat seluruh negara terhadap Takiyuddin

Laporan polis terhadap Menteri Di Pejabat Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hasan berhubung kebiadaban beliau terhadap titah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong telah dibuat di seluruh negara semalam.

Kebanyakannya dibuat oleh Pemuda AMANAH di balai-balai polis di Kawasan masing-masing.

Di Ibu Negara, laporan dibuat oleh Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin membuatnya di Balai Polis Dang Wangi bersama rakan-rakan beliau.

Di Kelantan, Pemuda AMANAH Kelantan membuat laporan polis serentak di balai polis Kota Bharu dan Pasir Mas terhadap.

Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kelantan Zulhazmi Hassan bersama Ketua Pemuda AMANAH Kawasan Kota Bharu Hamzi Mahmood dan Ketua Pemuda AMANAH Kawasan Pengkalan Chepa Azhar Zaki membuat laporan polis terhadap Takiyuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Laporan polis terhadap Takiyuddin juga dibuat serentak oleh Ketua Pemuda AMANAH Kawasan Pasir Mas Muhammad Zulhilmi di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

Laporan polis yang dibuat di seluruh negara terhadap Takiyuddin.

Selain Kuala Lumpur dan Kelantan, laporan polis juga di buat di Johor Bahru, Seremban, Melaka, Alor Setar dan juga Kucing, Sarawak.

Ekoran laporan polis itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengarahkan agar siasatan dibuat segera ke atas Takiyuddin. Rakan Takiyuddin dalam kabinet, Datuk Seri Dr Khairuddin Aman Razali pula berkata laporan itu berniat jahat.

Sebelum ini Yang Di Pertuan Agong menitahkan supaya Parlimen dibuka oleh Kerajaan PN untuk kembali bersidang secepat mungkin.

Titah itu dikeluarkan setelah Persidangan Khas Majlis Raja Raja berlangsung, disusuli dengan kenyataan bernada sama yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Walaupun Yang Di Pertuan Agong bersama Majlis Raja Raja Melayu menitahkan kepada pihak Kerajaan PN agar Parlimen kembali dibuka untuk bersidang secepat mungkin, namun kenyataan balas Takiyuddin dianggap mempersendakan titah tersebut.

Kebiadaban Takiyuddin yang menyatakan Baginda Tuanku tidak menyatakan secara spesifik bilakah Parlimen itu perlu dibuka, mengundang kemarahan ramai yang menganggap Takiyuddin sebagai penderhaka dan kurang ajar.

Sebelum ini Takiyuddin semasa menjadi Exco Kerajaan Pas Kelantan pada bulan Januari tahun 2001 pernah dilucutkan Surat Tauliah dan Darjah Kebesaran apabila Istana Negeri Kelantan menarik balik anugerah tersebut.