Malaysia Dateline

Derita rakyat siapa peduli?

KERAJAAN PN telah mengisytiharkan sekatan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) untuk fasa pertama bermula 1-14 Jun, fasa kedua sehingga 28 Jun, dan kelmarin dilanjutkan lagi sehingga 12 Julai 2021 untuk fasa ketiga.

Sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang telah disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Menteri Industri Dan Perdagangan Antarabangsa (MITI).

Terdahulu kurang lebih seminggu sebelum fasa pertama bermula, Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul pada 22 Mei telah menyebutkan bahawa kurang lebih 2.8 juta pekerja akan berhadapan dengan risiko kehilangan sumber pendapatan, manakala bilangan rakyat Malaysia yang akan menjadi penganggur dijangka mencecah satu juta orang seandainya PKP penuh 3.0 dilaksana. Kini, kita telah pun melalui fasa PKP 3.0 ini untuk tempoh hampir sebulan.

Sepanjang tempoh ini, bermacam cerita, peristiwa dan tragedi DERITA RAKYAT telahpun berlaku dan dilaporkan media. Daripada gangguan mental suami yang mengurung diri, isteri dan anak-anak hingga tragedi bunuh diri yang berlaku hampir setiap hari akibat tekanan hidup kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Bukan sedikit juga syarikat-syarikat perniagaan yang terpaksa gulung tikar dan sebahagian besar juga telah menekan “butang kecemasan” untuk menarik perhatian kerajaan termasuklah syarikat-syarikat besar seperti Mydin.

Belum lagi dengan peningkatan kes gangguan emosi dan mental termasuk di kalangan kanak-kanak yang kini difahamkan melibatkan kurang lebih 1.5 juta kanak-kanak serta warga emas yang gagal diberikan perlindungan dan perhatian akibat pusat-pusat perlindungan di bawah JKM yang terpaksa tutup operasi.

Kita juga dikejutkan dengan peningkatan dalam kes keganasan rumahtangga dan kesulitan bagi mendapatkan bantuan termasuk Interim Protection Order (IPO); dan segala impak sosial yang serius menakutkan.

Seperkara yang amat perlu kita insafi bahawa kesan pandemik dan PKP menyeluruh akan lebih dirasai oleh golongan yang berpendapatan rendah dan pekerja-pekerja di sektor informal termasuk mereka yang mendapat pendapatan harian, kais pagi makan tengahari, kais petang makan malam, dan kalau tidak berkais maka tiadalah makanan yang boleh dihidang untuk seisi keluarga.

Kita juga perlu ingat bahawa sektor pembuatan dan perkilangan menggaji ramai rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah iaitu dari kalangan B40, yakni mereka yang berpendapatan RM3,800 dan ke bawah. Sepuluh peratus daripada kalangan rakyat Malaysia yang bekerja pula menerima pendapatan di bawah daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK) Nasional iaitu RM2,208 ke bawah.

Justeru, untuk mereka ini sahaja bolehkah kita bayangkan bagaimanakah cabaran hidup yang mereka terpaksa hadapi bilamana pandemik kini memasuki tahun kedua dan PKP penuh berada pada tahap 3.0? Bahkan, boleh jadi mereka ini merupakan sebahagian besar daripada statistik sejuta orang yang telah pun kehilangan pekerjaan sejak tahun lepas.

PKP penuh bukan sahaja telah dan akan berterusan meningkatkan pengangguran, tetapi juga mendatangkan kemudaratan kepada rakyat termasuk pelbagai impak sosial yang akan mengambil masa yang lama untuk diperbaiki.

Jika kita imbas semula antara kesan ekonomi daripada PKP 1.0 yang telah dilaksanakan mulai 18 Mac sehingga 12 Mei 2020:

▪︎ 68 peratus perniagaan melaporkan tiada jualan atau hasil semasa, maknanya tiada pendapatan, sedangkan pada masa yang sama terdapat beberapa kos penyelenggaraan syarikat yang masih perlu ditanggung;

▪︎ 42.5 peratus perniagaan pula memerlukan lebih daripada enam bulan untuk kembali pulih; dan

▪︎ dua daripada setiap tiga perniagaan mempunyai (menanggung) tunggakan hutang dalam tempoh enam bulan.

Jelas, impak ekonominya bukan sedikit. Bahkan ia terkait langsung dengan keupayaan untuk kita memastikan kelangsungan kesejahteraan hidup rakyat. Semua ini bukanlah suatu hal yang mudah untuk kembali pulih, apatah lagi jika strategi yang sama terus digunapakai oleh kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.

Oleh itu, jalan penyelesaian yang terbaik dalam MENGIMBANGI antara Melindungi Nyawa dan Kesejahteraan Hidup Rakyat adalah dengan cara melaksanakan PKP YANG BERSASAR DAN DIPERKETATKAN, dan bukannya PKP secara menyeluruh, apatah lagi dengan gaya PKP 3.0 ini yang sehingga kini gagal menunjukkan perubahan ke arah pemulihan, ditambah dengan pemakaian SOP yang senantiasa berubah dan berbeza-beza.

Inilah yang menjadi kegusaran dan pertikaian ramai, dengan pemilihan dan pelaksanaan SOP yang tidak berdasarkan sains dan data, malah seolah dikuatkuasakan secara berkasta.

Diburukkan lagi dengan pelaksanaan Darurat yang telah menggantung Parlimen dan DUN, yang merupakan satu platform demokrasi untuk mengangkat suara rakyat. Kerajaan Gagalis ini bukan sahaja telah dikritik hebat oleh rakyat di seluruh negara, tetapi juga telahpun ditegur oleh KDYMM Tuanku Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Kita tidak memerlukan sejumlah PKP penuh yang dilaksanakan secara kaedah tiga suku masak, cukuplah barangkali dengan satu PKP bersasar dan diperketatkan dengan pelaksanaan SOP asas yang dipantau selia pelaksanaannya dengan lebih cekap dan disiplin yang tinggi, dan yang lebih penting adil untuk semua!

Selepas pembukaan semula sektor ekonomi seusai PKP 1.0 tahun lalu, tidak dinafikan bahawa di sana wujud usaha dan petunjuk pemulihan ekonomi negara :

▪︎ Ekonomi Malaysia kembali usaha pulih, bahkan dijangka tumbuh pada kadar di antara 6.0 dan 7.5 peratus pada tahun 2021;

▪︎ Laporan suku pertama 2021 menunjukkan ekonomi berada di landasan yang betul dengan merekodkan penguncupan yang lebih perlahan iaitu sebanyak 0.5 peratus berbanding setahun sebelumnya di mana ekonomi menguncup 6.4 peratus untuk sembilan bulan pertama tahun 2020;

▪︎ Pertumbuhan ini dipelopori terutamanya oleh sektor pembuatan yang berkembang pada kadar 6.6 peratus pada suku pertama 2021, dan ia didorong oleh permintaan luar negara yang mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan; dan

▪︎ Eksport suku pertama 2021 pula merekodkan pertumbuhan 11.9 peratus, walaupun permintaan domestik masih lemah (kesemua komponen perbelanjaan domestik masih merekodkan pertumbuhan negatif) kecuali perbelanjaan kerajaan yang tumbuh sebanyak 5.9 peratus.

Semua perkembangan ini menunjukkan bahawa langkah kerajaan membuka sektor ekonomi selepas PKP penuh yang pertama tahun lalu untuk menggalakkan pengeluaran disokong oleh perbelanjaan fiskal kerajaan telah sedikit sebanyak memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi.

Namun, sekatan penuh PKP 3.0 pada kali ini dilihat menjadi batu penghalang kepada momentum pertumbuhan yang sedang bersinar. Apatah lagi dengan situasi di mana kerajaan gagal memastikan adanya pakej-pakej rangsangan fiskal yang diturunkan kepada rakyat, sepertimana dalam PKP pertama tahun lalu.

Salah satu sektor yang sehingga hari ini masih menerima impak berterusan akibat pandemik dan pelaksanaan PKP penuh adalah sektor Industri Perhotelan negara. Antara kesan langsung penutupan ekonomi terhadap sektor ini adalah:

▪︎ Bagi tahun 2020, sektor ini mencatatkan kerugian kurang lebih RM6.3 bilion;

▪︎ Manakala untuk 6 bulan pertama tahun 2021 sahaja, kerugian yang dicatat adalah kurang lebih RM5 bilion;

▪︎ Seramai 6.3 juta pekerja dalam industri perhotelan telah dan akan terus berhadapan risiko kehilangan pekerjaan jika hotel-hotel terus gulung tikar; dan

▪︎ Sehingga kini, kurang lebih 120 buah hotel di seluruh negara telah terpaksa gulung tikar.

Majikan yang terpaksa menghentikan operasi syarikat dan perniagaan mereka sudah tentu tiada pilihan melainkan mengurangkan bilangan pekerja, kecuali jika mereka diberi insentif oleh kerajaan supaya tidak memberhentikan pekerja sepertimana program subsidi upah.

Terdapat sektor yang boleh membuat penyesuaian meneruskan operasi melalui kaedah bekerja dari rumah (WFH), maka mereka barangkali bolehlah mengekalkan pekerja mereka.

Namun, terdapat juga sektor pekerjaan yang tidak sesuai menggunakan kaedah WFH seperti contohnya sektor pembuatan. Sedangkan, pada masa yang sama sektor pembuatan ini merupakan enjin utama pertumbuhan ekonomi negara terutamanya yang membabitkan pasaran eksport dan jumlah pekerja yang ramai.

Pengalaman dari penutupan penuh PKP yang pertama untuk tempoh 18 Mac sehingga 12 Mei 2020, di mana ia telah memberi kesan sangat negatif terhadap pasaran buruh, harus terus dijadikan panduan berharga.

Kadar pengangguran untuk suku pertama 2020 yakni sebelum PKP 1.0 adalah 3.5 peratus. Namun, selepas melalui fasa PKP, pengangguran dilaporkan meningkat pada suku kedua 2020 iaitu kurang lebih 5.1 peratus.

Selepas ekonomi dibuka semula, kadar pengangguran walaupun masih tinggi, namun ia semakin lebih stabil pada kadar 4.8 peratus sehingga suku pertama tahun ini.

Perlu diingat bahawa kadar pengangguran yang agak terkawal ini walaupun dengan adanya PKP, sebenarnya telah turut disokong oleh Pakej Rangsangan Kerajaan. Tanpa perbelanjaan fiskal yang berupa pelbagai pakej bantuan untuk setiap rakyat terkesan, maka kadar pengangguran dijangka lebih teruk dan pemulihan ekonomi akan menjadi lebih perlahan.

Penutupan penuh PKP pada kali ini dijangka akan menyebabkan peningkatan kadar pengangguran sepertimana yang dialami dalam penutupan penuh PKP tahun lepas. Tanpa sebarang pakej rangsangan, sudah semakin pasti kesannya akan lebih serius.

Pandemik dan PKP ini telah membadai ganas semua kelompok dalam masyarakat, melampaui status ekonomi, gender, ras, usia dan semuanya. Untuk memulihkannya memerlukan iltizam, political will dan kebijaksanaan untuk menyelamatkan negara!

Jika kita bercakap soal apa harus kerajaan lakukan, saya percaya strategi yang harus dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk memendek dan mengecilkan kemelesetan ekonomi melalui perbelanjaan fiskal yang efisien. Ini boleh dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada tiga perkara, iaitu:

▪︎ meningkatkan keupayaan fiskal (kewangan) kerajaan;

▪︎ melaksanakan rangsangan ekonomi holistik namun bersasar; dan yang lebih utama dan perlu disegerakan adalah

▪︎ mempercepatkan progres vaksinasi untuk COVID-19, dan menjadikan perbelanjaan RM5 bilion yang telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk program vaksinasi itu segera memberi pulangan.

Kita semua tahu tentang keupayaan dan ruang fiskal yang sempit yang kini dihadapi oleh kerajaan, dan ia secara ketara menzahirkan had keupayaan kerajaan bagi melaksanakan pakej-pakej bantuan/ rangsangan termasuk yang telahpun diumumkan.

Kita tidak perlu berbicara inisiatif atau pakej yang baharu dan besar, setakat memastikan bantuan 150,000 laptop kepada para pelajar bagi membantu mereka mengikuti program PDPR pun, hakikatnya kerajaan masih gagal segagal gagalnya!

Kemelesetan ekonomi sudah tentu mengurangkan hasil cukai, bermaksud mengurangkan hasil pendapatan negara. Manakala hutang kerajaan semakin berada pada tahap yang meruncing, dan kita perlukan bukan sahaja strategi-strategi kebijakan, namun amalan penjimatan yang berhemah.

Saiz Kabinet dengan 32 orang Menteri dan 39 orang Timbalan Menteri misalnya antara yang perlu dikecilkan, ramai yang ada hanya pada nama dan jawatan, tetapi sangat tidak kelihatan pada kerja dan tindakan.

Penjimatan juga perlu dilaksanakan dengan efisien bukan semata-mata dengan pemotongan kos tetapi adalah dengan mengelakkan pemborosan. Ini boleh dicapai melalui reformasi. Inilah masanya untuk menilai kembali jentera pelaksanaan awam.

Segala ketirisan, redundensi dan pembaziran perlu dihapuskan. Dan hakikatnya, inilah yang telah diusahakan oleh Kerajaan PH selama 22 bulan. Malah, keupayaan PN pada tahun lepas untuk menyediakan pelbagai pakej rangsangan semasa PKP 1.0 adalah hasil daripada penjimatan PH selama 22 bukan tersebut!

Akhirnya, kembali pulih dan segera keluar daripada segala masalah yang terkait pandemik Covid-19 adalah berdasarkan kepada kejayaan vaksinasi. Kegagalan vaksinasi bukan sahaja meletakkan risiko terhadap kesihatan dan nyawa rakyat, tetapi turut sama penting adalah kelangsungan kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Pertumbuhan ekonomi yang perlahan akan memanjangkan lagi kesengsaraan dan derita rakyat.

Ironinya, urusan vaksinasi rakyat juga kini berada dalam situasi yang sukar. Sehingga kini, dilaporkan hanya sejumlah 2 juta orang rakyat Malaysia yang telah menerima suntikan dose lengkap (dua dose) vaksin Covid-19. Manakala bagi yang telah menerima suntikan dose pertama adalah sejumlah 5 juta orang.

Populasi Malaysia adalah pada kadar 32.75 juta orang (Data Mei 2021). Untuk mencapai imuniti berkelompok, sejumlah 80% daripada 32.75 juta populasi Malaysia ini perlu divaksinasi segera.

Nampaknya, perjalanan kita masih jauh dan semakin sukar dengan kewujudan para pengkhianat dan politikus murahan yang bergentayangan di mahligai kuasa, mereka hanya berfikir seputar diri dan survival mereka.

Hanya keberanian dan kebangkitan rakyat, akan mampu mengubah fenomena buta pekak dan sombong pemerintah!

Selamatkan Malaysia.