Derma RM2.6 bilion: Hakim  tolak rayuan 3 perayu batal keputusan Apandi

Derma RM2.6 bilion: Hakim tolak rayuan 3 perayu batal keputusan Apandi

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan oleh tiga perayu termasuk Badan Peguam Malaysia bagi kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman mencabar keputusan Peguam Negara menutup kes siasatan berhubung derma RM2.6 bilion.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu.

Hakim Umi Kalthum yang mempengerusikan panel berkata mereka sebulat suara bersetuju untuk menolak ketiga-tiga rayuan dengan tidak mengeluarkan apa-apa perintah mengenai kos dan mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi.

Badan Peguam Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dan bekas naib ketua UMNO Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka bagi kebenaran untuk semakan kehakiman.

Ketiga-tiga mereka antara lain memohon untuk membatalkan keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mendapati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan apa-apa kesalahan berhubung isu RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaunnya.

Pada 11 Nov, tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hanipah Farikullah menolak permohonan ketiga-tiga mereka selepaS memutuskan bahawa Peguam Negara mempunyai budibicara mutlak di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan mengenai pendakwaan dan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Zaid memfailkan permohonan itu pada 2 Feb bagi perintah untuk membatalkan keputusan Peguam Negara dan mengarahkannya untuk memulakan prosiding jenayah ke atas perdana menteri di bawah peruntukan Kanun Keseksaan dan/atau Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Peguam Negara pada 26 Jan tahun lepas mendapati bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh Najib berkaitan SRC International Sdn Bhd dan dakwaan mengenai derma RM2.6 bilion.

Dalam permohonannya yang difailkan pada 3 Feb tahun lepas, Khairuddin memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan oleh Mohamed Apandi untuk membebaskan Najib daripada sebarang salahlaku berkaitan siasatan oleh SPRM terhadap tiga perkara.

Khairuddin mahu mencabar keputusan Mohamed Apandi yang berpuas hati bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh Najib berhubung derma RM2.6 bilion, pemindahan dana oleh SRC International ke dalam akaun peribadinya dan penyediaan pinjaman oleh dana pencen KWAP kepada SRC International.

Pada Mac tahun lepas, Badan Peguam juga memfailkan permohonan untuk membatalkan keputusan yang disampaikan oleh Peguam Negara melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada 26 Jan, tahun lepas bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh Najib berhubung tiga kertas siasatan yang dikemukakan oleh SPRM kepada Peguam Negara .

Presiden Badan Peguam Malaysia George Varughese memberitahu media beliau akan mendapatkan nasihat perundangan sama ada untuk memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Zaid berkata peguamcaranya yakin dalam mendapatkan arahan untuk membawa perkara itu selanjutnya manakala peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin berkata beliau akan membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

TAGS