Malaysia Dateline

Hubungan Malaysia Saudi bersemarak di era pentadbiran Najib

Derma RM2.6 bilion pengaruhi hubungan Malaysia-Saudi?

“Datuk Seri Najib, media kerajaan dan peguam negara memberi alasan wang RM2.6 bilion itu didermakan oleh keluarga diraja Arab Saudi kepada beliau walaupun bukti-bukti yang mula dikemukakan di mahkamah-mahkamah di negara lain (iaitu Amerika Syarikat dan Singapura setakat ini) menunjukkan wang itu diselewengkan dari dana 1MDB.

“Sejak dari bocornya maklumat mengenai RM2.6 bilion ini, negara menyaksikan hubungan diplomatik dan perniagaan di antara pentadbiran Datuk Seri Najib dan pemerintah Arab Saudi menjadi agenda luar negara terpenting Malaysia.

“Malangnya, setakat pemerhatian saya kepada beberapa perkara berhubung kerjasama diplomatik dan pelaburan di antara Malaysia dan Arab Saudi; saya mendapati kesemua kerjasama ini menguntungkan Arab Saudi dan merugikan Malaysia,” ujar Rafizi yang juga naib presiden PKR.

Beliau memberikan tiga contoh kerjasama diplomatik dan pelaburan yang berat sebelah dan ditanggung rakyat Malaysia antaranya penyertaan tentera Malaysia di dalam aktiviti ketenteraan di Arab Saudi dan Timur Tengah.

Menurut Rafizi, sehingga kini Kerajaan Persekutuan mengelak dari memberi jawapan tentang jumlah anggota tentera Malaysia yang kini berada di Arab Saudi.
Kenyataan-kenyataan yang diberikan menteri pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein, katanya bertentangan dengan laporan dari Timur Tengah yang mendakwa kewujudan dan penyertaan anggota tentera Malaysia di Arab Saudi.

“Saya mendapat maklumat yang diceritakan sendiri oleh anggota tentera Malaysia yang ditugaskan di Arab Saudi untuk menyediakan khidmat sokongan lojistik kepada misi tentera di sana.

“Menurut maklumat itu, ketumbukan tentera Malaysia di Arab Saudi melibatkan anggota tentera darat dan udara dan saya ditunjukkan gambar-gambar ketumbukan ini di pangkalan mereka,” jelas beliau.

Rafizi menambah, isu kewujudan tentera Malaysia di Arab Saudi pernah ditimbulkan ahli parlimen Kuala Terengganu Raja Bahrin Shah di Dewan Rakyat namun tiada jawapan jelas diberikan kerajaan.

Beliau turut membangkit pelaburan Saudi Aramco di dalam RAPID membabitkan projek usahasama dengan Petronas yang merugikan negara.

“Maklumat saya dari pihak yang terlibat menyatakan bahawa ada campur tangan dari luar yang membolehkan syarikat usahama Petronas-Saudi Aramco itu membeli bahan-bahan asas yang digunakan di loji petrokimia pada harga yang merugikan Petronas.

“Itu bermakna ada campur tangan yang membolehkan Saudi Aramco mendapat peratusan keuntungan yang lebih tinggi dari yang awalnya ditawarkan oleh Petronas yang diunjurkan mencecah berbilion ringgit dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Rafizi menambah, pelaburan Prasarana Malaysia Berhad di Arab Saudi juga mengakibatkan syarikat milik kerajaan itu menanggung kerugian yang diunjurkan sehingga RM142 juta, dan perkara ini disahkan secara tidak langsung melalui jawapan perdana menteri terhadap soalan beliau di Dewan Rakyat.

Sehubungan itu beliau mengulangi soalan sama ada apa yang berlaku kini adalah harga yang perlu dibayar oleh rakyat Malaysia untuk membolehkan Najib menggunakan nama keluarga diraja Arab Saudi sebagai penderma wang RM2.6 bilion?

“Saya bimbang jika isu 1MDB ini tidak diselesaikan dengan cepat untuk terus membolehkan alasan ‘derma Arab Saudi’ ini dijual kepada rakyat, lebih banyak wang rakyat atau kepentingan negara yang terpaksa dipertaruhkan untuk menjaga hubungan dengan pemerintah Arab Saudi – gara-gara kisah ‘derma’ yang digunakan untuk tidak meneruskan siasatan ke atas Perdana Menteri,” tegas Rafizi.