Malaysia Dateline

Desak Ahli Parlimen dari Sarawak ikut SOP kuarantin, kata Kelvin

Semua Ahli Parlimen dan VIP didesak supaya mengikut standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan dengan menjalani kuarantin selama 10 hari apabila balik ke Sarawak.

Menurut Ahli Parlimen Kuching Dr. Kelvin Yii, semua ahli politik perlu mempraktikkan kuarantin di Sarawak bagi mengawal penularan virus Covid-19 demi melindungi rakyat di negeri ini.

Katanya, baru-baru ini Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing menolak gesaan menjalani kuarantin bagi semua Ahli Parlimen termasuk VVIP dan ahli politik.

“Tiong telah mendakwa bahawa saya hanya bermain politik dan mencari publisiti murah.

“Justeru, saya menjelaskan bahawa Sarawak mempunyai salah satu kelebihan terbaik dari segi mengawal penyakit iaitu melalui autonomi imigresen Sarawak.

“Melalui kelebihan ini, Sarawak dapat mengehadkan mereka yang masuk dan diarah untuk dikuarantin sehingga mengurangkan penularan tempatan terutamanya bagi mereka yang datang dari kawasan berisiko tinggi,” ujarnya.

Dr Kelvin menegaskan, bagaimanapun, kelebihan ini tidak digunakan apabila terlalu banyak pengecualian untuk ahli politik dan VIP yang tidak mengikut SOP.

Mengenai dakwaan Tiong yang mendakwa bahawa beliau dan ahli politik negeri lain diberi pengecualian untuk dikuarantin kerana telah menyerahkan dokumen yang menunjukkan keputusan negatif sekurang-kurangnya tiga hari sebelum balik ke Sarawak, Dr. Kelvin Yii menegaskan pentingnya untuk ingat bahawa ujian itu sahaja tidak menjamin mereka akan tidak dijangkiti virus selepas melakukan penyerahan dokumen.

Malah, katanya lagi mungkin ketika ujian dilakukan, virus tersebut masih dalam inkubasi dan dengan demikian tidak muncul.

Beliau turut mengingatkan bagaimana Kluster Mador baru-baru ini berlaku, yang mana pesakit menjalani ujian swab Covid-19 di sebuah makmal swasta di SC Medan Tunku Kuala Lumpur sebelum pulang dan diuji negatif.

“Setibanya di Sibu, kes telah diberi Home Surveillance Order (HSO) dan dia kembali untuk tinggal di rumah panjangnya di Sg Mador, Meradong. Dia kemudian diuji lagi dengan RT-PCR pada hari ke-8 yang kembali positif, walaupun tidak menunjukkan gejala.

“Semasa dia berada di rumah panjang, dia makan malam bersama keluarganya dan datang berkunjung ke rumah saudara lain pada musim perayaan Krismas,” tambahnya.

Katanya, setakat ini terdapat lapan kes positif yang dikesan dari Kluster Mador termasuk kes indeks sementara selebihnya 113 sedang menunggu hasil.