Desak Akta Hasutan dimansuh segera tunaikan manifesto

Desak Akta Hasutan dimansuh segera tunaikan manifesto

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memberikan komitmen dalam manifesto pada PRU-14 lalu untuk menghapuskan peruntukan zalim termasuk Akta Hasutan 1948.

Exco Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam berkata, penyerahan memorandum kepada Ahli Parlimen dan berpiket di hadapan Parlimen bagi mendesak pemansuhan akta tersebut bukan semata-mata kerana hukuman dikenakan kepada penceramah Wan Ji Wan Hussin.

“Apabila ditanya adakah piket hari ini berkaitan penahanan Ustaz Wan Ji, kami tekankan bahawa fokusnya adalah untuk mansuhkan Akta Hasutan 1948.

“Kita tidak mempertahankan Wan Ji 100 peratus. Ada tindakannya yang betul dan ada tindakannya yang silap.

“Namun, apabila menggunakan Akta Hasutan, itu yang dipertikaikan,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Asmaaliff mendesak supaya manifesto berkaitan penghapusan akta drakonian disegerakan bagi mengelakkan lebih ramai yang menjadi mangsa.

Dalam hal berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong pada Mei lalu dilapor berkata, Akta Hasutan dijangka dimansuhkan tahun ini.

Ahli Parlimen Batu Sapi dan pemimpin dari Parti Warisan Sabah itu berkata, kerajaan telah membuat keputusan pada mesyuarat Kabinet untuk memansuhkan akta tersebut dan sedang melihat pelbagai faktor bagi melaksanakannya.

“Kami mahu memastikan bahawa tidak semestinya semua kenyataan yang dibuat boleh menghasut kerana kami ingin memastikan kenyataan tertentu mendapat beberapa bentuk kebebasan… tetapi bukan kami membenarkan semua orang untuk membuat kenyataan yang mencemarkan nama raja dan pemimpin kita khususnya,” kata Vui Keong, Mei lalu.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Wan Ji, 37, terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor pada 2012.

Ekoran itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman tersebut kepada setahun penjara terhadap Wan Ji berkuat kuasa kelmarin selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.

Abdul Halim menyatakan kata-kata yang dinyatakan bekas penasihat agama, Lim Guan Eng sewaktu Menteri Kewangan itu bergelar Ketua Menteri Pulau Pinang adalah satu penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Wan Ji didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, Shah Alam pada 10 pagi, 5 November 2012.