Malaysia Dateline

Desak IMAMS dibatalkan, pelaksanaan hanya kaut keuntungan, kata Khalid

Kerajaan dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) digesa membatalkan pelaksanaan Sistem Pengurusan Pemantauan Bersepadu (IMAMS) yang didakwa membebankan syarikat pelancongan dan jemaah umrah yang akan dikuatkuasakan mulai esok (15 Disember 2017).

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad berkata, KPK hanya menjadikan pelaksanaan Imams sebagai ‘one storp centre’ kepada 234 pemegang Lesen Khas Umrah (LKU) dan anggaran 290,000 jemaah umrah setahun untuk mengaut keuntungan semata-mata.

“Kita minta menteri pelancongan beri jawaban apa peranan Imams sebenarnya dan bagaimana IMAMS akan memudahkan dan melancarkan lagi proses mengerjakan umrah.

“Jika sistem bersepadu ini hanya sekadar nak kumpul duit saja akan membebankan dan menyulitkan umat Islam untuk mengerjakan Umrah.

“Kita mendesak kementerian pelancongan gugurkan sahaja cadangan ini,” ujarnya.

Beliau mengulas mengenai pelaksanaan LKU dan IMAMS kepada semua syarikat pelancongan yang mengendalikan pakej Umrah/Ziarah.

Pada dasarnya, LKU dan IMAMS dibangunkan bertujuan memperkemas dan menangani permasalahan semasa di dalam industri dan masyarakat, khususnya berkaitan isu penipuan pakej Umrah dan Ziarah.

Bagaimanapun Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH, mendakwa, KPK telah memberikan pengurusan pelaksanaan IMAMS kepada sebuah syarikat yang hanya mempunyai
modal berbayar RM1.

“Ia diketuai  bekas Adun Batang Kali. Saya difahamkan ia merupakan syarikat RM1 (paid up capital) yang tiada kemampuan kewangan dan ditambah dengan peranan  IMAMS pula untuk membantu pelaksanaan umrah ini juga agak kabur.

“Mereka hanya sekadar kutip duit. Jemaah umrah kena bayar kepada syarikat ini melalui syarikat  pengendali umrah sebanyak RM90.10 seorang.

“Jika dikira jumlah kutipan membabitkan 290,000 jemaah umrah setahun jumlahnya dalam lingkungan RM26juta setahun kepada syarikat dilantik tersebut.

“Ini tidak diambil kira deposit yang terpaksa dibayar oleh setiap  syarikat pelancongan di bawah KLU sebanyak RM10,000.

“Saya ada senarai terdapat 83 syarikat pengendali umrah yang  membantah, ini termasuk syarikat yang mempunyai nama-nama yang  besar dalam pengurusan jemaah umrah ini kerana mereka juga tidak tahu apa peranan sebenar IMAMS.

“Kita merasakan ini bukan peranan kerajaan tetapi hanya nak cari jalan kutip duit tapi bukan nak beri apa-apa perkhidmatan kepada jemaah umrah,” ujarnya.

Melalui IMAMS setiap jemaah pakej umrah akan dikenakan bayaran tambahan kepada syarikat pengendali umrah.- foto Gambar hiasan.

Difahamkan IMAMS dapat membantu pihak industri dalam semua urusan  berkaitan pengendalian jemaah umrah seterusnya memudahkan KPK  untuk memantau pelaksanaan tanggungjawab oleh syarikat serta  perjalanan jemaah umrah di dalam keseluruhan rantaian  pengendalian umrah tersebut.

Bagaimanpun Khalid menjelaskan, sekiranya benar kerajaan dan kementerian terbabit ingin memantau pelaksanaan syarikat terhadap jemaah umrah, ia tidak sewajarnya dikenakan sebarang bayaran sedangkan syarikat pelancongan/umrah dibawah tanggungjawab KPK.

“Penipuan digunakan sebagai alasan sedangkan ‘pemantauan’ itu sebahagian daripada kewajiban dan tanggungjawab kerajaan dan kementerian tanpa perlu dikenakan caj atau bayaran.

“Seolah-olah polis nak ronda kawasan perumahan minta duit pendahuluan pada kita. Itu memang kerja polis kawal jenayah tidak perlulah kenakan sebarang bayaran.

“Begitu juga dengan soal memberi ‘perkhidmatan’ yang ditawarkan oleh syarikat yang nak buat pakej umrah kerajaan kenalah memantau melalui kementerian dan agensi-agensi kerajaan sedia ada.

“Jika di internet kerajaan boleh memantau iklan-iklan palsu kenapa tidak boleh pantau syarikat pengendali umrah palsu- kerajaan boleh beri arahan, dan diambil tindakan sekiranya didapati melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada sebelum ini seperti Akta Industri Pelancongan 1992 dan Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992.

“Kenapa perlu membebankan rakyat? Bagi saya alasan diberikan kementerian itu tidak munasabah ia hanya menambahkan kos kepada jemaah umrah.

“Ini kerana syarikat pengendali akan mengenakan caj tambahan ke atas pelanggan mereka,” ujarnya.

Baru-baru ini dalam satu kenyataan oleh Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) Datuk Seri Razali Mohd Sham, beliau dipetik berkata, pengendali umrah dan haji menyokong matlamat LKU bagi membanteras penipuan yang kerap berlaku.

Namun, LKU mensyaratkan penggunaan IMAMS yang hanya menyebabkan kos pelaksanaan umrah bertambah kepada jemaah.

Sebaliknya, syarikat yang mengendalikan IMAMS iaitu Integrated Manasik Monitoring System Sdn Bhd katanya, mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM90.10 kepada setiap jemaah yang hendak mengerjakan umrah melalui syarikat pengendali umrah.

Sistem IMAMS memperuntukkan untuk setiap pendaftaran individu pakej umrah akan dikenakan bayaran bagi Sistem dan Pengurusan RM45.00; Insurans RM40.00 dan GST 6% RM5.10.

Jumlah bayaran yang diperoleh syarikat itu jika mengambil kira 290,000 jemaah mengerjakan umrah dalam setahun adalah RM26.129 juta.

Daripada jumlah itu RM1.479 juta adalah GST; RM11.6juta (insurans) dan yang masuk kepada syarikat itu RM13.050 juta.