Desak kepimpinan Bersatu beri laluan Tok Pa dalam barisan kabinet PH

Desak kepimpinan Bersatu beri laluan Tok Pa dalam barisan kabinet PH
Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika mengisytiharkan beliau menyertai Bersatu dan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad pada 26 Oktober lalu.

Mohd Solihin Badri

Ketua Bersatu Bahagian Ledang Mohd  Solihin Badri hari ini,  mendesak kepimpinan Bersatu memberi laluan kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk kembali dalam barisan kabinet yang kini diterajui Pakatan Harapan.

Beliau yakin dengan ketokohan, pengalaman Mustapa atau Tok Pa sebelum ini akan membantu parti dan mengukuhkan lagi Pakatan Harapan.

“Saya yakin dengan kebolehan beliau dan saya harap beliau akan ditawarkan menyertai barisan kabinet Pakatan Harapan kerana kebolehan dan pengalaman dengan beberapa portfolionya sebelum ini.

“Dalam konteks Bersatu, saya berharap kepimpinan Bersatu di setiap peringkat dapat memberi peluang kepada bekas tokoh Umno yang ikhlas seperti Datuk Seri Mustapa untuk bersama mengukuhkan parti dan PH,” ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Ditanya kemungkinan portfolio  mana  yang bakal diberikan kepada Mustapa dikalangan pemimpin Bersatu,  Solihin tidak menolak kemungkinan  dua portfolio menteri yang disandang oleh pemimpin Bersatu dalam kabinet mungkin sesuai digantikan kepada Ahli Parlimen Jeli itu.

Solihin yang juga Pengarah Media Bersatu Johor turut  menegaskan,  kepimpinan ahli  Bersatu di pelbagai peringkat perlu memberi ruang kepada Tok Pa kembali ke kabinet.

“Saya yakin kebolehan tokoh sebegini akan mengukuhkan orang Melayu. Ini kerana orang Melayu dalam Umno dalam keadaan terubang ambing dan menghadapi masalah yang sukar diselesaikan.

“Sebagai parti baharu kita memerlukan pemimpin berkaliber seperti Tun M, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz dan lain-lainnya, itulah yang sepatutnya ada.

“Kita perlu beri peluang kepada mereka kerana Bersatu berjuang untuk Melayu dan ia memberi kekuatan untuk terus membela orang Melayu bagi berhadapan dengan perkembangan negara yang semakin mencabar ini,” ujarnya.

Sebelum ini Solihin pernah menyatakan pendiriannya untuk menyerahkan jawatannya kepada Mustapa walaupun dianggap tidak logik oleh sesetengah pihak , namun beliau menyifatkan ia sebagai bukti kesediaan dan sokongannya kepada bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu yang telah menyertai Bersatu.

Solihin pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar sewaktu Mustapa menjadi Menteri Kewangan Kedua.