Desak kerajaan tubuhkan semula Lembaga Padi  Negara, BERNAS gagal

Desak kerajaan tubuhkan semula Lembaga Padi Negara, BERNAS gagal

Kerajaan digesa untuk mengatasi masalah industri padi dan beras di negara ini dengan menubuhkan semula Lembaga Padi Negara (LPN)

Badan Bertindak Selamatkan Industri dan Beras Negara mendakwa sejak Beras Nasional (Bernas) mengambil alih LPN hampir 20 tahun lalu,  kesan daripada dasar penswastaan oleh kerajaan, ia memberikan impak buruk kepada golongan pesawah,pengilang dan pemborong padi dan beras.

“Sebelum Bernas mengambil alih, LPN berfungsi sebagai pihak
penimbal yang boleh mengawal eksploitasi daripada berlaku dengan mengurangkan import bila berlaku lambakan beras atau melepaskan beras stockpile ke pasaran bila berlaku kekurangan beras untuk menstabilkan harga.

“Kini peranan tersebut sudah tidak wujud. Di pihak petani pula, memang tidak ada pihak berkuasa yang menyelia isu-isu
petani ini secara serius dan tiada apa-apa akta yang boleh melindungi petani daripada dieksploitasi diperingkat benih hingga menuai.

“Setelah BERNAS mengaut laba selama hampir 20 tahun, impak penswastaan padi dan beras wajar dipersoalkan dan dinilai semula,” ujar kenyataan badan bertindak itu.

Justeru hari ini sekumpulan wakil dari Badan Bertindak Selamatkan Padi dan Beras Negara bersama Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) yang mewakili golongan pesawah, pengilang dan pemborong padi dan beras telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di Putrajaya hari ini.

Memorandum yang dihantar itu mempersoalkan prestasi dan peranan yang dimainkan oleh BERNAS dalam menjaga Industri Padi dan Beras Negara?

“Bagi kami, jelas bahawa BERNAS telah gagal kerana sasaran Tahap Sara Diri atau Self Sufficient Level (SSL) beras kekal pada tahap sekitar 70% sejak 23 tahun lalu.

“Ada sebanyak 203 buah kilang-kilang Bumiputra yang menyertai Skim BERNAS. sewaktu proses penswastaan tetapi kini hanya tinggal 20 buah sahaja yang masih beroperasi. Ini akibat daripada diskriminasi dan tekanan yang diberikan BERNAS terhadap kilang-kilang ini.

“Mengkhianati tanggungjawab untuk menjaga kebajikan petani apabila lebih mengutamakan beras import berbanding tempatan dan akhirnya mengenakan potongan pemutuan yang tinggi terhadap padi tempatan untuk mengaut keuntungan berganda.

“Sejak melaksanakan joint venture dengan pemborong-pemborong beras pada 2007/2008, BERNAS kini memonopoli sebagai pembeli padi terakhir, pengilang dan pemborong (melalui anak syarikat). Sebagai sebuah syarikat yang meletakkan keuntungan sebagai sasaran utama, sudah tentu membeli beras import dilihat lebih menguntungkan dan memproses padi tempatan diabaikan.

“Sebelum BERNAS, LPN berfungsi sebagai pihak penimbal yang mengawal eksploitasi daripada berlaku. Kini peranan itu sudah tidak wujud. Di pihak petani pula, memang tidak ada agensi yang benar-benar menyelia isu petani dengan meluas,” ujar kenyataan.

Justeru Badan Bertindak Selamatkan Industri dan Beras Negara dan MTEM mendesak agar LPN ditubuhkan semula dan kali ini fungsinya perlu merentasi rantaian bekalan padi dan beras bermula
dari benih padi hingga ke pasaran beras.

“Hanya badan yang bebas dari kepentingan komersial dan keuntungan sahaja yang layak menjaga Industri Padi dan Beras Negara.Bukannya sebuah syarikat persendirian seperti BERNAS.”

CATEGORIES
TAGS