Malaysia Dateline

Desak SOP PRU 15: Umno fokus kuasa bukan rakyat

Tindakan bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat SOP (tatacara) untuk pilihan raya ke 15 yang dijangka tiga tahun lagi dikesali.

Ini kerana, rakyat kini sedang berhadapan dengan Covid-19 di mana pelbagai sektor kehidupan belum selesai ditangani dengan baik termasuk persekolahan dan gunting rambut.

“SOP untuk gunting rambut dan sekolah pun belum selesai lagi, dia mahu SOP untuk pilihan raya.

“Keutamaan pemimpin yang bukan untuk rakyat,” kata Hannah Yeao, ahli Parlimen Segambut ketika mengulas kenyataan Najib melalui twitter beliau.

Bagi Fahmi Fadzil, ahli parlimen Lembah Pantai, kenyataan Najib tersebut membayangkan kebimbangan beliau terhadap pertuduhan dan perbicaraan yang dihadapi beliau sekarang.

“Dia nak masuk Putrajaya, bukan nak masuk Sungai Buluh,” tulis Pengarah Komunikasi PKR itu melalui twitternya.

Najib dalam satu kenyataannya mendesak agar SPR memulakan kerja untuk membuat SOP untuk pilihan raya umum akan datang.

“Ini kerana majoriti rakyat sudah bosan dengan drama politik yang berlaku hari ini.

“Jika drama ini berterusan sehingga pemimpin tidak dapat fokus kepada pemulihan ekonomi, maka kebanyakan rakyat Malaysia lebih senang mengambil risiko untuk membubarkan parlimen,” kata Najib.

Umno dan Pas mendesak dibubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan semula selepas calon mereka menang berturut-turut dalam beberapa pilihan raya kecil.

Sebelum ini, Malaysia Dateline melaporkan pilihan raya ke 15 dipercayai berbeza dengan pilihan raya sebelum ini ekoran wabak Covid-19 yang melanda dunia. Tambahan lagi jika ia dilaksanakan tahun ini.

Penganalisis politik dari Sekolah Perdana, UTM, Dr Mazlan Ali berkata, kemungkinan besar pilihan raya perlu diadakan dua hari jika mengambil kira normal baharu akibat dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk bagi mematuhi penjarakkan sosial.