Malaysia Dateline

Desak tindakan tegas terhadap agensi kerajaan salah tadbir Kompleks BM City

Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia Pulau Pinang, Datuk Ong Chuan Jin menunjukkan pelan bangunan Kompleks BM City yang perlu disiasat.

Yayasan Anti Rasuah Malaysia Pulau Pinang mendesak kerajaan supaya tidak bertolak ansur dalam isu melibatkan lebih 500 penghuni di Kompleks BM City, Bukit Mertajam.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusinya, Datuk Ong Chuan Jin dalam sidang akhbar yang diadakan semalam.

Jelas beliau, terdapat beberapa keraguan dalam pemberian ‘certificate of completion and compliance’ atau CCC.

Malah katanya, pengeluaran sijil perakuan penyiapan dan pematuhan (CCC) tersebut amat meragukan dan perlu disiasat oleh pihak berkuasa dengan serius.

“Lebih diragui apabila terdapat dua pelan pembangunan yang tidak sama dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Seberang Perai dan agensi kerajaan terlibat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Dari pemantauan yang dibuat kami mendapati pelan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan mempunyai ‘power room’

“Manakala pelan berikutnya yang dikeluarkan oleh agensi keselamatan seperti pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak mempunyai ‘power room’,” ujarnya.

Sejajar dengan itu kata beliau, lebih merbahaya apabila unit ditingkat 8 sehinggalah ke tingkat 23 terdapat keraguan apabila tidak ada sistem keselamatan kebakaran.

Oleh kerana itu tambahnya, soal keselamatan yang melibatkan nyawa penghuni, peniaga dan orang ramai yang mengunjungi premis ini tidak boleh dipertaruhkan.

“Yayasan Anti Rasuah Malaysia Pulau Pinang mendesak supaya isu ini diberi perhatian serius kerana ia melibatkan nyawa dan harta benda serta pengeluaran CCC yang tidak mengikut ‘Uniform Building By Law 1984’.

“Janganlah apabila sudah terjadi kebakaran atau kemalangan yang besar baru kita tergesa-gesa untuk mengambil tindakan, sedangkan nyawa manusia tidak boleh dipertaruhkan.

“Kami amat berharap pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas dan serius kerana perkara ini telah pun dilaporkan kepada mereka,” tegasnya.

Ketika ditemui beliau berkata, isu ini telah pun diadukan kepada beberapa agensi terlibat termasuk pihak Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran Seberang Perai sebelum ini serta juga beberapa agensi yang lain.

Namun begitu katanya, isu keselamatan tersebut masih belum diselesaikan sehinggalah menjelang 2020 yang akan datang minggu hadapan.

Sehubungan itu beliau mendesak supaya SPRM segera turun padang dan menyiasat dakwaan yang dibuat bagi mengelak pandangan serong masyarakat terhadap agensi tersebut.