Malaysia Dateline

Desakan dedah keputusan mesyuarat: Umno anggap Bersatu hanya bongkar kelemahan sendiri

Selepas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman bertubi-tubi menyerang, akhirnya Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan bersuara malam ini.

Shahril menganggap Faiz seolah-olah ada ‘assignment’ untuk mempersoal dan menyerang Umno secara terbuka.

Bekas pesakit Covid-19 itu tahun lalu menegaskan beberapa kenyataan Faiz sejak kebelakangan ini hanya berkaitan Umno.

“Sudah beberapa kenyataan mutakhir dia yang tak henti-henti menyentuh Umno. Tidak nampak pula kenyataan tentang partinya sendiri.

“Terkini, individu ini (Faiz) menggesa Umno untuk mendedahkan keputusan rasmi mesyuarat,” katanya merujuk mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Akademi Umno dekat Janda Baik, Pahang pada 19 Februari lalu.

Faiz sebelum ini meminta agar Umno mendedahkan keputusan rasmi mesyuarat tersebut.

Kata pemimpin parti bunga raya itu, hal tersebut penting untuk mereka merancang kempen sama ada secara bersama atau berasingan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Difahamkan dalam mesyuarat itu, pucuk pimpinan Umno memutuskan untuk berpisah daripada Bersatu dan gabungan PN pada PRU-15 sebelum dinafikan Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan Umno hari ini.

Mengulas desakan Faiz itu, Shahril menegaskan jika Umno mahu mengumumkan atau mendedahkan sebarang keputusan, parti tersebut akan berbuat demikian mengikut waktu dan garis masanya sendiri.

“Sebarang kenyataan rasmi mengenai keputusan dasar akan datang dari Presiden atau Setiausaha Agung.

“Gesaan terbuka melalui media untuk Umno mendedahkan perihal dalaman parti hanya membongkar kelemahan pihak yang menggesa tersebut,” tempelak Shahril lagi.