Desakan letak jawatan: Saya tidak fitnah AMANAH, salahkah saya bertanya, soal Zamihan

Desakan letak jawatan: Saya tidak fitnah AMANAH, salahkah saya bertanya, soal Zamihan

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) membidas Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan yang mendakwa beliau memfitnah parti itu selepas memuatnaik resit bayaran tertera logo parti seolah-olah resit bayaran zakat, pada 7 Jun lepas.

Zamihan Mat Zin ketika dihubungi berkata, kesalahan sepatutnya diletakkan pada parti itu yang sengaja membuka ruang orang ramai membuat spekulasi berkenaan kutipan tersebut.

Beliau berkata, AMANAH sepatutnya tampil menjelaskan perkara tersebut, bagaimana kutipan RM7 itu dikatakan sebagai yuran keahlian walhal  katanya, yuran sebenar mengikut perlembagaan parti, hanya RM1.50 seumur hidup.

“Resit tersebut dibuat pada bulan Ramadhan. Jika tengok semula, tertera RM7 kali empat (7×4). Apa RM7 itu? Seperti yang ditulis, resit dibuat pada bulan Ramadhan menjelang syawal, dan RM7 itu sinonim dengan kadar bayaran zakat yang dikenakan di Kuala Lumpur.

“Mereka pula tidak menandakan apa-apa disebelah resit berkenaan sama ada ia merupakan dana atau sumbangan. Mereka yang buka ruang untuk orang membuat andaian.

“Jadi, salah ke saya bertanya? Lagipula saya bertanya sahaja, bukan fitnah.

“Kenapa bila saya tanya sedemikian rupa, suruh saya letak jawatan sebagai penjawat awam pula? Kalau orang tanya, kamu dah panas baran, dah marah sehingga suruh orang letak jawatan, kamu fikir lah kamu main politik cerdik ke tak,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Zulnazmi Zulkifli

Tambahnya, pemuda AMANAH seharusnya selidik tentang resit bayaran tersebut sebelum mencabarnya meletakkan jawatan kerana pastinya ia bukan angka bayaran yuran keahlian atau yuran tahunan parti itu.

“Sebelah kanan resit tu tak ditanda apa objektif pembayaran tu. Sama ada ia yuran ahli, dana atau sumbangan. Jadi, pekerja Amanah yang membuat kutipan itu tak membuat penandaan yang jelas kepada resit berkenaan.

“Jadi, bila resit berkenaan itu tersebar luas, secara tak langsung dah membuka ruang andaian. Jadi salah ke saya tanya sama ada ini resit kutipan zakat atau bukan. Sebab tengok pada tarikh tu, dalam bulan Ramadhan dan hampir kepada Syawal,” ujarnya.

Baca Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan

Pada Ahad, Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan mendesak Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja),Zamihan Mat Zin meletakkan jawatan sebagai pegawai di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana didakwa memfitnah parti itu di dalam facebook miliknya.

Exco Pemudanya Zulnazmi Zulkifli berkata, Zamihan telah memuat naik status yang mendakwa AMANAH mengutip duit zakat dengan meletakkan gambar resit dengan logo parti itu pada 7 Jun lepas.

Katanya, walaupun status di Facebooknya itu meletakkan tanda soal kononnya bertanya mengenai kesahihan resit tersebut, namun beliau kemudian menulis kenyataan fitnah dan sengaja memburukkan imej Amanah dengan mendakwa agama Islam semakin rosak apabila dijadikan alat politik kepartian.

“Berdasarkan gambar yang dipaparkan akaun Facebooknya, ternyata dalam resit itu tidak menyebut langsung tentang pembayaran zakat sebaliknya resit tersebut adalah pembayaran yuran ahli.

“Justeru, saya mencabar Zamihan supaya meletak jawatan sebagai pegawai Jakim yang telah membuat fitnah dan melanggar integriti penjawat awam,”katanya.