Malaysia Dateline

Desakan lucut kerakyatan Dr Ting adalah pemikiran sempit, kata AMANAH Sarawak

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak menyifatkan desakan beberapa pihak yang mahu kerakyatan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pujut, Dr Ting Tiong Choon dilucutkan adalah sebagai pemikiran yang sempit.

Timbalannya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, tindakan pihak tertentu adalah tidak masuk akal dan berniat jahat kerana Dr Ting bukanlah seorang penjenayah, pengintip yang boleh memudaratkan negara atau seorang yang melancarkan perang ke atas Yang Dipertuan Agong.

“Kita menerima Dr Ting telah didapati bersalah dan telah dijatuhkan hukuman mengikut proses yang sah oleh Mahkamah Persekutuan.

“Tetapi beliau bukanlah penjenayah besar yang mudaratkan negara, dan pengintip ataupun seorang penganas Isis atau serta bertindak melancarkan perang ke atas Yang Dipertuan Agong,” ujarnya ketika ditemui di Kuching hari ini.

Hud Andri seterusnya berkata, pihak terbabit haruslah faham isi yang terkandung dalam Perkara 25, Pelucutan Kewarganeraan melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 melalui penaturalisasian.

“Saya fikir adalah bukan mudah kerajaan melucutkan kewarganeraan seseorang itu berdasarkan apa yang terkandung pada Perkara 25 dalam Perlembagaan Malaysia,” jelasnya lagi.

Semalam, PAS Sarawak menggesa agar Dr Ting dilucutkan kewarganegaraan mengikut peruntukannya (1)Perkara 24. Pemecatan kewarganegaraan untuk mendapatkan atau menggunakan kewarganegaraan asing dan sebagainya.Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan), maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

Pas Sarawak menerusi Pesuruhjayanya, Jofri Jeraiee turut menyeru pihak berkuasa untuk mengkaji semula mana-mana wakil rakyat di negara ini yang mempunyai dua kewarganegaraan/kerakyatan supaya mereka boleh mengambil tindakan.

“Semua pihak yang mempunyai maklumat tentang mana-mana wakil rakyat yang memiliki dua kewarganegaraan itu boleh menyuarakan kebimbangan mereka kepada pihak berkuasa bagi diambil tindakan,” katanya.