
Desakan serah kerusi TPM kepada Anwar
Datuk Seri Dr Wan Azizah disarankan supaya memberi ruang kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambilalih jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam masa terdekat.
Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri Perlis, Bibi Faridah Ghulam Hyder semalam.
Jelasnya dengan memberi peluang kepada Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri akan memudahkan gerak kerja sebagai persiapan bagi peralihan kuasa sebagai Perdana Menteri selepas pengunduran Tun Mahathir nanti.
“Wan Azizah perlu melepaskan kerusi Timbalan Perdana Menteri dengan segera bagi memudahkan proses peralihan kuasa kepada Anwar.
“Sekiranya beliau dapat mempercepatkan proses ini, sudah pasti Anwar sudah mampu untuk mengatur strategi bagi membantu Perdana Menteri.
“Dengan ketokohan dan kemampuan yang ada pada Anwar, rakyat optimis banyak reformasi dalam pelbagai aspek dapat dilaksanakan.
“Disamping itu segala kemelut dan kecelaruan sedia ada yang mencalarkan imej PKR akan dapat diselesaikan apabila Anwar berada pada kedudukan tersebut,” tegasnya.
Beliau yang juga merupakan Ketua Wanita PKR Cabang Padang Besar juga berharap pengambilaihan kerusi Timbalan Perdana Menteri adalah langkah terbaik sebelum Anwar dinobatkan sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Mahathir.
Malah katanya, semua pihak harus berlapang dada seandainya Anwar menerajui kerusi Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu sebelum proses pengambilaihan kuasa menjadi realiti.
Yang pasti ujarnya, platform Timbalan Perdana Menteri itu akan mampu untuk merungkai pelbagai kemelut dan juga menaikkan imej Pakatan Harapan yang dilihat semakin berkecamuk tatkala ini.