Malaysia Dateline

Desakan Zahid percepat PRU15: Belum masanya PRU, selesaikan dulu kes berprofil tinggi – Pengarah Komunikasi PH

Desakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan tidak dipersetujui di pihak Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, berkata masih banyak isu besar yang perlu diselesaikan terlebih dahulu pada masa ini dan rakyat juga belum bersedia kerana ramai masih mengharapkan bantuan sewajarnya daripada kerajaan.

Fahmi Fadzil

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi PKR berkata, Ahmad Zahid tidak patut mendesak supaya PRU dipercepatkan, sebaliknya perlu menjelaskan mengenai isu ketika menjadi Menteri Pertahanan yang sekarang hangat diperkatakan.

“Bagi saya, belum masanya (PRU) dan tidak sesuai lagi kerana kita juga tahu ada beberapa lagi kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam yang perlu diselesaikan dahulu.

“Bagi saya, rakyat mahukan supaya semua perkara itu diselesaikan dulu,” dipetik BH.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menegaskan desakan supaya PRU diadakan lebih cepat sebagai mementingkan diri dan hanya memikirkan nasib sendiri selain boleh dianggap cubaan menutup perkara yang tidak sepatutnya.

“Jadi kita jangan cuba mendahului kerana timbul persepsi yang PRU ini adalah usaha untuk mengeluarkan sesiapa daripada keadaan yang ‘sempit’ dan itu bagi saya, sangat pentingkan diri,” tambahnya lagi.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyifatkan sekarang adalah waktu terbaik untuk PRU15 diadakan.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, tindakan melengahkan PRU bermakna Umno memberi senjata kepada pihak musuh untuk terus menyerang.

Baca juga Jangan terkejut, Melayu pergi junjung kain di Kemboja pula selepas ini jika…

Baca juga Wartawan yang mengangkat hak wanita di Malaysia, kenali Azah Aziz