Dewan baharu tetapi pemikiran Speaker jauh ke belakang

Dewan baharu tetapi pemikiran Speaker jauh ke belakang



Peranan seorang Speaker dewan amat penting dalam mempengerusikan sidang untuk mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan berintegriti ditahap optimum untuk dilihat sebaris dengan 'House Of Commons' seperti mana Parlimen di negara-negara Kesatuan Eropah dan Komenwel. 

Salahuddin Ayub Peranan seorang Speaker dewan amat penting dalam mempengerusikan sidang untuk mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan berintegriti ditahap optimum untuk dilihat sebaris dengan ‘House Of Commons’ seperti mana Parlimen di negara-negara Kesatuan Eropah dan Komenwel

“Kedudukan Speaker bukan hanya sekadar mempengerusikan sidang. Tetapi mesti juga mampu menjadi Pemimpin Perubahan, bersedia melakukan ‘reform’ dan pencetus idea besar bagi memacu ke hadapan Institusi Parlimen Malaysia,” ujarTimbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa simpati dengan kekangan yang dihadapi pihak media ketetapan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang melarang wartawan daripada berkumpul di lobi Parlimen berkuat kuasa semalam.

“Amat malang, hari ini mendengar berita daripada Parlimen kita.

“Isu besar negara dan dunia seperti 1MDB, M01 tidak diizinkan dibahas oleh Speaker atas alasan subjudis, kononnya.

“Paling terkini, pengamal media tidak dibenarkan berada di lobi Parlimen untuk membuat liputan persidangan dewan.

“Sedangkan di negara-negara lain, perbahasan sidang Parlimen disiarkan secara langsung. Betapa jauhnya Parlimen kita melangkah ke belakang,” ujarnya,

Tan Sri Pandikar Amin MuliaKata Salahuddin lagi, Parlimen harus bebas daripada campurtangan eksekutif.

“Campurtangan eksekutif yang melampau masih menjadi isu yang perlu ada keberanian.

“Untuk tujuan itu, Speakerlah orang yang paling layak mempeloporinya.

“Sekiranya kita berada di bangunan Parlimen hari ini, kita dapat menyaksikan betapa hebat dan mewahnya Dewan Persidangan setelah diubah suai dengan kos ratusan juta ringgit.

“Sayangnya, kita memiliki Speaker yang gagal mempamerkan pemikiran, wawasan dan perubahan yang mampu mengangkat nilai serta integriti Parlimen negara ini,” ujar bekas wakil rakyat Kubang Kerian dua penggal ini.

Beliau ketika masih berkhidmat sebagai ahli parlimen pernah menganggotai penal jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan oleh Parlimen untuk membuat semakan dan kajian mengenai gaji serta elaun ahli Parlimen termasuk Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Beliau tidak menafikan bahawa skim gaji dan elaun Parlimen Malaysia adalah relatif rendah jika dibandingkan dengan negara-negara Asia seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, hatta Bangladesh.

“Sekarang ini bermula sejak 2014 lagi, ahli Parlimen dan Speaker kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah menikmati gaji serta elaun yang mencukupi serta memuaskan .

“Saya diberitahu, Speaker membawa pulang lebih kurang RM30 ribu sebulan.

“Pada hemat saya, kenaikan gaji dan elaun ahli Parlimen ini adalah suatu yang wajar. Sebagai bekas wakil rakyat, saya dapat memahami betapa besar dan beratnya beban yang tergalas di bahu mereka yang bekerja tiada had masa.

“Jangan lupa perkara yang lebih besar dan penting daripada gaji serta elaun ialah kedudukan Institusi Parlimen mesti mencapai KPI dan Integriti yang boleh dibanggakan.

“Perkara ini mesti berjalan seiring dengan harapan Parlimen kita suatu hari nanti Parlimen kita sebaris dengan ‘House Of Commons’ dan berwibawa seperti di negara-negara Kesatuan Eropah dan komenwel,” ujarnya.

Perkara yang lebih besar dan penting daripada gaji serta elaun ialah kedudukan Institusi Parlimen mesti mencapai KPI dan Integriti yang boleh dibanggakan.

TAGS