Malaysia Dateline

Dewan kecoh bila Timb Speaker sahkan penghitung silap kira

Dewan Rakyat pagi ini berlangsung dengan penuh kekecohan dan tidak terkawal selepas blok kerajaan didakwa menipu dalam pengundian belah bahagian semalam.

Pihak pembangkang tegas mendakwa blok kerajaan menipu kerana menandakan Ahli Parlimen Padang Rengas sebagai hadir dan setuju dalam undi belah bahagi yang kedua semalam.

Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya yang merupakan penghitung dari blok kerajaan telah tersilap dalam mengira undi tersebut.

“Saya menerima pemakluman dari Tasek Gelugor semalam berkaitan senarai undi belah bahagian, beliau yang merupakan penghitung bagi blok C memaklumkan telah tersilap menandakan Padang Rengas bersetuju dalam senarai undi walaupun Padang Rengas tidak hadir semasa undian yang kedua semalam,” katanya.

Perkara tersebut menimbulkan kemarahan pembangkang yang mendesak agar Speaker menjelaskan apa jaminan kepincangan dalam pengundian tidak akan berlaku lagi.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) juga mempertikaikan keberadaan Menteri di dalam dewan semasa proses pengundian.

Hannah Yeoh (PH-Segambut) mencelah dan meminta pemasyuran Speaker agar undi semalam tidak sah dan pengundian belah bahagi dilakukan semula.

Sementara itu, Fuziah Salleh (PH-Kuantan) bangun membaca peraturan mesyuarat 47 dan berkata, setiap penghitung mesti bertanya kepada tiap-tiap ahli, pihak mana yang hendak diundinya dan tidak boleh membuat andaian.

“Kalau penghitung untuk blok Padang Rengas membuat andaian, bagaimana kami boleh yakin penghitung di blok lain dalam kerajaan tidak berbuat sama,” katanya.

Ketidakpuasan hati yang dibangkitkan pembangkang berlangsung lebih 20 minit.

Semalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) memenangi dua kali undi belah bahagi dalam Belanjawan 2021 bagi jawatankuasa Kementerian Kewangan.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengumumkan undi belah bahagi memihak kepada blok kerajaan dengan 107 undi, manakala 95 tidak bersetuju dan 18 ahli Parlimen pula tidak hadir.

Namun angka tersebut telah diperbetulkan pagi ini dengan seramai 106 Ahli Parlimen bersetuju dan pembangkang kekal dengan 95 orang tidak bersetuju.

Rashid Hasnon kemudian memberi jaminan akan membawa perkara berkenaan untuk berbincang dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berhubung mekanisma pengundian yang lebih telus.

“Saya akan bawa kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membuat petua, memastikan kalau ada belah bahagian, ianya tak akan berulang kembali.

“Dari peraturan mesyuarat 47 tadi, pengira selepas ini perlu memastikan bahawa ahli-ahli Berhormat ada dan dia melihat ada dalam dewan,” katanya lagi.