Dewan komuniti dibiar usang, tidak dimanfaatkan untuk rakyat

Abdullah Suady (kanan) bersama Penyelaras PH Dun Pantai Merdeka, Rosli Yusuf (kiri) ketika meninjau bangunan Dewan Komuniti Tuanku Puteri Intan Syafinaz yang terbiar di Sungei Petani.

Kerajaan Negeri Kedah seolah-olah tidak prihatin tentang bangunan Dewan Komuniti Tunku Puteri Intan Safinaz, Kota Kuala Muda, Sungei Petani yang terbiar dan ditinggalkan usang sejak lebih tiga tahun lalu.

Ia bukan saja merugikan sebaliknya menyakitkan mata memandang.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda AMANAH kawasan Sungei Petani, Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir.

Beliau yang turun padang meninjau bangunan tersebut bersama-sama dengan Penyelaras Pakatan Harapan (PH) Dun Pantai Merdeka, Rosli Yusuf turut mendapati bangunan yang pernah menjadi pusat pengiraan undi bagi PDM Haji Kudung dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lalu begitu daif dan rosak.

Malah katanya lagi, lebih mendukacitakan kerana bangunan dewan ini dinamakan atas nama Puteri Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Sultan Kedah.

Abdullah Suady Ramadhan

“Walaupun pembinaan bangunan ini adalah hasil sumbangan sebuah badan sukarelawan Bulan Sabit Merah, namun begitu dewan ini acapkali digunakan oleh penduduk setempat serta agensi kerjaaan.

“Seharusnya dewan ini diberi perhatian yang sewajarnya serta boleh dijadikan pusat pembangunan belia melalui aktiviti sukan maupun riadah.

“Ia juga boleh dijadikan pusat kegiatan wanita dan penduduk setempat kerana bangunannya begitu besar,” jelasnya.

Sementara itu, Penyelaras PH Dun Pantai Merdeka, Rosli Yusuf pula berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Merdeka yang diwakili oleh BN sepatutnya mengambil perhatian mengenai bangunan atas nama Puteri Sultan Kedah tersebut.

“Kerajaan negeri dan juga Adun BN Pantai Merdeka seolah-olah lepas tangan dan tidak mempedulikan aset yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat.

Bahagian dalam bangunan yang telah rosak setelah dibiarkan begitu lama.

“Sebaliknya mereka tidak gemar untuk menjaga dan memberi perhatian terhadap bangunan yang ada kecuali menabur janji baru, sedangkan kerajaan tidak mempunyai kewangan yang kukuh.

“Adalah wajar bagi kerajaan negeri mengambil tindakan segera dengan membaik pulih bangunan terbiar tersebut supaya ia dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, masih banyak lagi kemudahan awam dan infrastruktur tidak diberi perhatian yang sempurna oleh Adun Pantai Merdeka sehingga memberi ketidakselesaan kepada penduduk walaupun telah mejadi wakil rakyat sejak PRU 13 yang lalu.

CATEGORIES