Malaysia Dateline

Dewan MAHA dipersiap sebagai pusat kuarantin Covid-19

Dewan MAHA di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang akan digunakan sebagai pusat kuarantin sebagai persediaan menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah pesakit akibat wabak Covid-19.

“Menurut Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 itu bakal memuatkan 600 katil keseluruhannya.

“Ia bertujuan, menempatkan pesakit-pesakit positif wabak itu yang tidak bergejala dan bergejala ringan.

“Pada masa ini, bilangan katil sedia ada ialah sebanyak 5,292 iaitu 3,400 buah katil di hospital-hospital Covid-19 dan 1,892 buah katil di Institut Latihan KKM di seluruh negara,” maklum kenyataan itu.

Hari ini BH melaporkan, KKM menjangkakan akan ada pertambahan secara mendadak kes positif Covid-19 menjelang pertengahan April ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata atas sebab itu pihaknya sudah membuat pelbagai perancangan bagi mengelakkan perkara berkenaan terjadi.

“Dari segi pembersihan, kita adakan proses nyah kuman dan jangkitan di semua tempat. Selain itu, kita bekerjasama dengan pihak kementerian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta majlis daerah,” katanya.