Malaysia Dateline

Dewan Muslimat Pas perjelas salah faham SIS terhadap undang-undang keluarga Islam

Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) tampil menjelaskan salah faham terhadap kenyataan pengasas badan bukan kerajaan Sister In Islam (SIS), Zainah Anwar, yang mengkritik pelaksanaan prosedur dan penguatkuasaan undang-undang di Mahkamah Syariah sebagai lemah.

Melalui video temubual yang dimuatnaik KiniTv pada 7 Februari lalu, Ketua DMPM, Senator Nuridah Mohd Salleh, berkata, wujud salah faham yang ketara oleh SIS dalam memahami isu-isu perundangan di Mahkamah Syariah terutama prosedur dalam undang-undang keluarga Islam.

Beliau turut membidas kenyataan SIS sebagai tidak bersandar pada fakta yang benar dan menegaskan bahawa kritikan terhadap mana-mana sistem kehakiman perlu disertai dengan fakta yang benar serta tidak menghina Mahkamah.

“Berbanding desakan untuk mengubah hukum syarak tanpa berpaksikan pengetahuan agama yang menyakinkan, cadangan bagi memperkemaskan lagi prosedur perceraian adalah lebih diharapkan daripada SIS, selagi mana ia tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah.

“Malah, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa kedatangan penjajah menjadikan Mahkamah Syariah dianak tirikan berbanding Mahkamah Sivil yang menerima hakim-hakim dari England.

“Sehingga hari ini, mahkamah syariah sepertimana juga mahkamah sivil masih memerlukan proses tambah baik yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan

Pada masa sama, jelas Senator itu lagi, mahkamah syariah masih perlu diperkasakan untuk berdiri sama tinggi dengan mahkamah sivil terutamanya dari sudut penambahan bidang kuasa, infrastruktur dan tenaga kerja.

Jelasnya, kedudukan skim gaji hakim-hakim, bilangan dewan bersidang, jumlah hakim, penolong pendaftar dan staf-staf sokongan amat diperlukan bagi memastikan mahkamah syariah dapat menyelesaikan perbicaraan kes dengan lebih efisien.

Justeru katanya, adalah tidak adil apabila SIS mengkritik kekurangan mahkamah syariah secara berat sebelah dalam keadaan perkara-perkara utama yang perlu diberi perhatian telah diabaikan.

DMPM turut merujuk kepada Negeri Terengganu, yang telah meminda Seksyen 27 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2017, bagi mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar bagi menyelesaikan masalah lambakan dokumen yang menyebabkan berlakunya tunggakan Surat Perakuan Cerai (SPC) sebelum ini.

“Bahkan, semua pihak yang masih tidak peka pada fakta semasa harus menyedari bahawa hakim-hakim mahkamah syariah juga sangat terbuka menerima pakai prinsip undang-undang sivil berkaitan dengan prosedur kes.

“Tetapi ia perlu lah selaras dengan hukum syarak seperti prinsip perlanjutan tempoh masa, prinsip penyalahgunaan proses mahkamah, prinsip res judicata dan lain-lain bagi memastikan pihak-pihak terlibat mendapat keadilan di mahkamah syariah.

“DMPM ingin menyarankan kepada SIS, walaupun masih wujud kelompongan dalam Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, sebarang cadangan baru yang ingin diusulkan mestilah disandarkan kepada rujukan yang tepat daripada Al-Quran, Hadis, dan pendapat ulama,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa penafsiran kembali ayat al-Quran tanpa menggunakan kaedah yang betul, serta dibuat oleh pihak yang tidak mempunyai kelayakan dan autoriti, hanya akan membuka kepada tafsiran yang membuta-tuli.

Ini kerana menurutnya, keadilan kepada wanita akhirnya akan menjadi satu ‘utopia’ kerana cadangan yang bertentang dengan hukum syarak hanya akan lebih memburukkan situasi wanita Islam dalam negara.

“Justeru, Muslimat Pasnsentiasa berusaha dalam memperjuangkan isu dan hak-hak wanita di Malaysia.

“Pihak kami juga sangat berbesar hati untuk mengadakan pertemuan bersama pihak SIS bagi memberikan penjelasan lebih lanjut dan terperinci mengenai hukum dan undang-undang keluarga Islam,” ujarnya.