Malaysia Dateline

Dewan Negara lulus RUU Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional

Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional atau (National Anti-Financial Crime Centre (NFCC)).

RUU ini telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2019 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong dan telah sebulat suara mendapat sokongan daripada semua Ahli Parlimen.

Timbalan Menteri Hanipa Maidin menegaskan ancaman jenayah kewangan pada masa ini adalah boleh dikatakan amat membimbangkan.

Ini kerana, jelas beliau akibat kleptokrasi dan jenayah kewangan, negara kehilangan berbilion ringgit akibat rasuah, pengubahan wang haram, serta pelarian cukai pendapatan, pengelakan cukai dan duti kastam, penyeludupan barang larangan seperti rokok dan minuman keras, penyalahgunaan subsidi barang seperti LPG, diesel dan minyak masak serta penyalahgunaan insentif cukai di zon bebas cukai.

“Atas komitmen Kerajaan, RUU NFCC telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 2 Oktober 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, memandangkan jenayah kewangan semakin kompleks, berangkai dan dinamik, ditambah pula dalam era digital dan teknologi canggih, termasuk gejala cyber crime, maka keupayaan penguatkuasaan secara bersepadu memerlukan pendekatan lebih canggih dan bijak.

“Pendekatan ini lebih-lebih lagi perlu dilaksanakan terutamanya dalam kapasiti agensi penguatkuasa, kepegawaiannya serta penggemblengan usaha agensi penguatkuasa.

“Antara cabaran yang dihadapi antaranya menangani jenayah kewangan terancang dan bersindiket, pengaliran wang haram keluar negara, jenayah rentas sempadan, pelarian cukai, rasuah dan penyalahgunaan insentif cukai.

“Semua ini memerlukan tindakan yang lebih bersepadu termasuk melakukan tindakan forensik perakaunan dan pengesanan audit yang lebih teliti,” katanya.

Penubuhan NFCC juga merupakan salah satu inisiatif Kerajaan di bawah Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) yang dilancarkan pada 29 Januari 2019, iaitu antara lainnya cadangan penubuhan NFCC.

Penubuhan NFCC ini juga adalah selaras dengan kehendak dan penarafan standard antarabangsa.

Artikel 48 dan 49 United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada 24 September 2008, yang menyatakan bahawa negara-negara ahli perlu melaksanakan kerjasama dan siasatan bersepadu antara agensi penguat kuasa bagi mempertingkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan undang-undang dalam memerangi jenayah rasuah.

Tambah Hanipa, penekanan supaya kerjasama dan siasatan bersepadu antara agensi penguat kuasa dilaksanakan dengan lebih menyeluruh terutamanya yang melibatkan kes-kes jenayah transnasional juga terkandung dalam Syor 38 dan 39 Oslo Statement on Corruption involving Vast Quantities of Assets yang telah dibuat pada 14 Jun 2019 yang lalu di Oslo, Norway.

NFCC bukanlah penubuhan sebuah agensi penguat kuasa yang baharu.

Sebaliknya, kata beliau, NFCC bertindak sebagai penyelaras menganalisis maklumat dan tindakan operasi bersepadu berkaitan jenayah kewangan, bersama agensi penguat kuasa undang-undang yang lain seperti PDRM, SPRM, Kastam, Lembaga Hasil, Bank Negara, Jabatan Imigresen, Agensi Maritim dan lain-lain.

“NFCC tidak akan menghakis, memansuh atau menyingkir fungsi atau kuasa agensi penguat kuasa sedia ada, sebaliknuya pendekatan baharu pencegahan jenayah kewangan secara holistik dan strategik dilakukan.

“Penubuhan NFCC akan memberi impak yang positif dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan hasil negara dan mengekang ketirisan dalam pengurusan dana awam melalui pelaksanaan operasi bersepadu,” katanya.

Justeru jelas beliau, NFCC berfungsi sebagai suatu platform strategik dan holistik di peringkat nasional selaras dengan manifestasi dan komitmen kerajaan dan negara dalam menangani jenayah kewangan pada masa kini.

“Adalah diharapkan usaha ini mendapat sokongan seluruh agensi penguatkuasa undang-undang dan rakyat Malaysia,” ujarnya.