Dewan Negara lulus usul tempoh tahanan SOSMA dilanjut 5 tahun lagi

Dewan Negara lulus usul tempoh tahanan SOSMA dilanjut 5 tahun lagi

Tempoh penahanan maksimum 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) akan terus dikuatkuasakan bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai 2017 apabila diluluskan di Dewan Negara malam tadi.

Usul semakan pelaksanaan subseksyen 4(5) di bawah Akta berkenaan dikemukakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berkata cadangan pelanjutan tempoh penahanan 28 hari di bawah subseksyen 4(5) akta itu merupakan kali pertama dibuat sejak ia dikuat kuasa pada 31 Julai 2012.

Nur Jazlan ketika menggulung perbahasan usul berkenaan memberikan penjelasan terhadap kekhuatiran sesetengah pihak yang mendakwa akta itu digunakan sewenang-wenangnya untuk melakukan tahanan politik.

“Kita tengok kes Maria Chin (Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah). Dia bukan tahanan politik, apa parti politik dia? Jadi dakwaan Sosma digunakan pada tahanan politik adalah tidak benar,” katanya.

Beliau turut berkata sepanjang tempoh akta tersebut dikuatkuasakan, tiada kejadian tahanan cedera  atau meninggal dunia akibat didera ketika dalam tahanan.

Beberapa anggota dewan ketika membahaskan usul tersebut bersetuju tempoh berkenaan terus dikuatkuasakan bagi menjaga kesejahteraan dan keamanan negara.

Senator Datuk Yahaya Mat Ghani berkata, ia langkah tepat kerana dalam tempoh lima tahun tiada sebarang jaminan akan tiadanya ancaman yang boleh menggugat keamanan negara.

“Kalau saya jadi menteri saya sambung 20 tahun lagi, apa yang hendak ditakutkan dengan Sosma ini, ia kebaikan untuk negara,” katanya.

Ia disokong oleh Senator Datuk Shahanim Mohd Yusoff yang menzahirkan penghargaan kerana langkah berkenaan membuktikan kerajaan mahu mengekalkan kesejahteraan rakyat.

Manakala Senator Datuk Fahariyah Md Nordin pula berkata, kerajaan mengambil langkah yang betul apabila membuktikan tidak akan berkompromi dengan individu atau pihak yang mendatangkan ancaman kepada negara.

Subseksyen 4(5) Sosma memperuntukkan kuasa kepada polis untuk menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan untuk siasatan selama tempoh tidak lebih 28 hari.

Manakala subseksyen 4 (11) Sosma pula menyebut subseksyen 4(5) hendaklah disemak tiap-tiap lima tahun dan hendaklah terhenti berkuat kuasa apabila diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) untuk tidak melanjutkan tempoh kuat kuasa peruntukan itu.

Terdahulu pada 5 April usul tersebut diluluskan di Dewan Rakyat melalui undian belah bahagian yang menyaksikan 93 anggota Parlimen menyokong pindaan Akta itu berbanding 77 menentang.

TAGS