Malaysia Dateline

Forest City menjadi kontroversi apabila Dr Mahathir mengkritiknya tetapi dipertahankan oleh Sultan Johor

Dewan perdagangan Asean mahu projek Forest City dihidupkan semula

Projek Forest City di Johor perlu dihidupkan semula bersama kerajaan seiring usaha untuk terus menarik pelabur dari luar negara, menurut Dewan Perdagangan Asean.

Presidennya Datuk Moehamad Izat Emir berkata usaha itu bertepatan dengan saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu lebih banyak pelaburan asing bagi memperkukuhkan kembali ekonomi negara.

“Kerajaan perlu menyusun semula pantang larang kepada pembeli asing supaya terkawal dan tidak bebas 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau percaya para pembeli yang dahulunya kecewa, kini akan berasa gembira dan pasti kembali untuk menghidupkan semangat baru.

Keadaan ini sekali gus menyumbang kepada langkah menghidupkan semula ekonomi di Selatan sambil meyakinkan para pelabur terutama dari China.

Moehamad Izat turut berharap agar pendapatnya itu diterima baik demi memajukan negara dan ASEAN secara amnya.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa kerjasama yang lebih mantap antara Malaysia dengan China adalah amat penting dalam usaha memperkasakan ekonomi negara,” jelasnya.

Pada 27 Ogos 2018, Malaysia dilapor tidak akan membenarkan rakyat asing membeli unit kediaman di Forest City yang membabitkan pelaburan sehingga AS$100 bilion.

Projek berkenaan menjadi tanda tanya selepas pakatan yang dipimpin Dr Mahathir mencatat kemenangan mengejutkan pada pilihan raya umum Mei lalu.

Larangan itu dikeluarkan ketika pemaju projek Country Garden Holdings Co sedang merancang untuk memulihkan kembali bandaraya yang mengalami penurunan permintaan.

Projek futuristik mewah yang dibina di atas empat pulau buatan itu dijangka mampu menempatkan sehingga 700,000 penduduk.
– BERNAMA