Dewan Perniagaan India Perak mahu SPRM siasat Presidennya dengan segera

Sultan Abdul Khader (duduk tiga dari kanan) semasa sidang media semalam.

Dewan Perniagaan India Perak (DPIP) mendesak Presidennya, Tan Sri Kenneth Eswaran supaya segera melepaskan jawatan yang dipegangnya.

Dalam sidang media yang diadakan di Ipoh semalam, pemangku Presidennya, Sultan Abdul Khader berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu menjalankan siasatan terhadap Presiden DPIP tersebut.

“Presiden DPIP telah gagal membuat sebarang perubahan dan juga kemajuan yang membabitkan peniaga sejak menerajui kepimpinan 10 tahun yang lalu.

“Terdapat beberapa kes penyalahgunaan dana yang telah disalurkan oleh kerajaan pusat kepada DPIP sebelum ini.

“Kami juga mendapati beliau terbabit dalam aktiviti politik bersama dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isterinya sebelum ini,” ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, adalah difahamkan sejak tahun 2008 yang lalu banyak kontrak daripada kerajaan telah pun disalurkan kepada Presiden tanpa pengetahuan anggota DPIP.

Katanya, ia turut melibatkan dana yang telah pun disalurkan oleh kerajaan pusat selama ini dikesan tidak sampai kepada DPIP.

Sehubungan itu desaknya, Eswaran perlu melepaskan jawatan sebagai Presiden DPIP serta disiasat oleh SPRM dengan secepat mungkin.

Abdul Khader juga amat berharap kerajaan negeri yang baharu dapat memberi peluang kepada usahawan DPIP untuk sama-sama melaksanakan projek serta kontrak yang ada.

“Dahulu kerajaan hanya memberi peluang ini kepada sesiapa yang rapat atau pihak tertentu sahaja sehinggakan kita tidak dapat bersaing dengan sihat.

“Amatlah diharapkan selepas ini kerajaan negeri mampu menetapkan perkara berkaitan melalui tender terbuka.

“Tidak perlu lagi sebarang peluang dan kontrak yang ada diberikan secara terus atau pun tender tertutup,” katanya.