Malaysia Dateline

Dewan Perniagaan Vape dakwa PBT tidak laksana arahan beri lesen sah kepada peniaga

Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) meminta supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri dapat mengeluarkan lesen perniagaan sah kepada hampir 400 ahlinya secepat mungkin.

Setiausaha Agungnya, Ridhwan Rosli berkata, sehingga kini, 20 peratus dari sekitar 1,800 ahlinya yang masih tidak mendapat lesen perniagaan dari pihak PBT yang menjejaskan sehingga 366 ahli.

Katanya, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) telahpun meluluskan lesen perniagaan untuk peniaga-peniaga sah menjual rokok elektronik tersebut.

Ridhwan Rosli

“Namun, berlaku masalah dikalangan peniaga kerana PBT kemungkinan terlepas pandang pekeliling untuk mengeluarkan lesen.

“Masalah ini ada yang berlarutan sehingga tiga tahun dan kami berharap PBT berkenaan dapat meluluskan permohonan mereka sekaligus memudahkan pemantauan pihak berkuasa.

“Diperingkat atasan sebenarnya tak ada masalah, mereka beri kerjasama pada pengusaha. Cuma soal pengendalian diperingkat bawahan yang masih belum jelas dengan kawal selia vape ini,”katanya ketika sidang media sambutan hari Aidilfitri Bersama Media, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden DPVM, Syed Azaudin Syed Ahamad, Setiausaha Eksekutifnya Datuk Mohd Mustaffa, dan Ketua Penerangan, Adib Anas.

Dalam pada itu, beliau turut berkata kerjasama baik telah diberikan oleh agensi kerajaan namun khuatir dengan kelewatan pihak bawahan dalam menerima arahan dan tidak memberi kerjasama dengan pengusaha.

“Tapi kita telah dapat jaminan secara lisan dari Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin, dan mereka akan beri kerjasama penuh kepada pihak DPVM. Kalau boleh selepas ini proses lesen dipercepatkan dan sekiranya pemain-pemain industri ini sendiri ada salah guna kuasa, tarik lah lesen mereka.

“Masalah sekarang realitinya peniaga-peniaga Vape menghadapi masalah apabila ada pihak-pihak PBT masih tidak mengeluarkan lesen peniaga,” ujarnya.