Malaysia Dateline

Dewan Rakyat kecoh lepas Sany, Shahidan bertikam lidah ketika bahas usul percaya

Dewan Rakyat bertukar kecoh selepas pihak pembangkang dan kerajaan bertikam lidah ketika berbahas tentang usul undi percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menguji keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

Ketika Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berucap, beliau menyentuh tentang titah baginda yang memberi inisiatif untuk membentuk Kerajaan Perpaduan dengan parti-parti politik utama negara termasuk Ahli Parlimen Bebas.

Beliau juga meminta agar Kerajaan Perpaduan dipimpin Anwar disokong untuk kestabilan negara.

Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) ketika bangun meminta ‘point of orders’, mengatakan bahawa tidak seharusnya menteri menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong untuk mempengaruhi majlis mesyuarat.

“Kita tidak boleh menggunakan Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu untuk mempengaruhi majlis mesyuarat. Kita (boleh) bawa usul tanpa menggunakan benda ini. Sekarang dah langgar artikel 36 (7),” katanya yang kemudian dibidas oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh bahawa ianya adalah fakta.

“Ini adalah fakta, kalau fakta tak boleh dibawa, kita nak bawa apa lagi,” kata Wong.

Shahidan kemudian berkata, jika Agong sudah melantik Anwar sebagai Perdana Menteri, tiada keperluan ianya diuji dalam usul undi percaya.

“Bagi kami, kalau Agong dah absah, pasaipa kita nak bawa mari sini lagi. Jadilah Perdana Menteri, tak perlu absah”.

Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) kemudian mencelah dengan berkata; “Kami berani, kami berani tak macam (kerajaan) dulu. PM8 dulu tak berani nak bawa. Isytihar darurat,”.

Arau mencabar Sany untuk bangun dari kerusi jika benar ‘berani’ dan cabaran itu disambut Sany dengan segera bangun sehingga membuatkan suasana sedikit tidak terkawal.

Arau juga menyentuh tentang sakit dialami Sany sehingga membuatkan ahli Dewan di pihak kerajaan berang dan meminta Shahidan untuk menarik balik kata-katanya.