Malaysia Dateline

Dewan Rakyat kecoh selepas Muhyiddin usul mahu gugur Speaker

Dewan Rakyat yang bersidang hari ini menjadi panas selepas satu usul yang dikemukakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin iaitu mahu mengugurkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Dengan alasan kerana ada pencalonan baharu bagi jawatan Yang di-Pertua, usul Muhyiddin itu terus mendapat bantahan dalam kalangan blok pembangkang.

Malah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta Timbalan Yang di-Pertua untuk memberi kelonggaran setiap ahli parlimen berbahas kemudian mengundi usul berkenaan.

Timbalan Speaker pula terus memberi masa selama 10 minit kepada Port Dickson.

Dalam masa yang sama Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad turut bangun mempersoalkan apa kesalahan yang dilakukan oleh Speaker Tan Sri Arif.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo pula bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat dengan mengatakan pencalonan baharu boleh diusulkan kerana adanya kekosongan jika tidak ada kekosongan maka pencalonan baharu tidak perlu dibuat.

“Prosedur yang sangat basic,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan pula tiba-tiba bangun menjawab bagi pihak Timbalan Speaker sehingga mengundang kemarahan blok pembangkang.

“Timbalan Speakerlah yang jawab bukan menteri, Speaker kena jawab bukan eksekutif yang jawab,” kata Shah Alam.