Dewan rakyat kecoh! Wan Saiful dakwa ditawar RM1.7 juta untuk sokong kerajaan

Oleh MAISARAH AISYA

Sidang Dewan Rakyat hari ini agak kecoh susulan pertikaman lidah antara beberapa wakil rakyat ekoran dakwaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful mendakwa dirinya diugut dan ditawar ‘habuan’ untuk menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut portal Free Malaysia Today (FMT), wakil dari Perikatan Nasional itu memaklumkan ugutan itu dibuat sejak beliau didakwa di Mahkamah Sesyen atas kes pengubahan wang haram pada tahun lalu.

“Saya telah beberapa kali diajak dan diugut menyokong perdana menteri,” katanya semasa perbahasan titah Diraja di Dewan Rakyat.

Dakwaan itu bagaimanapun dibantah beberapa orang termasuklah Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (PH) yang menyuruh Wan Saiful membuat laporan.

“Kalau anak jantan, buat laporan SPRM,” katanya.

Kekecohan berlaku susulan Wan Saiful memaklumkan orang korup dan menyalahguna kuasa adalah individu sama mengadap Tuanku Yang di-Pertuan Agong setiap minggu sebelum mesyuarat Kabinet bermula.

“Kita kena ingat dalam ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang saya sokong dalam pembukaan Parlimen.

“Dan sebelum itu lagi Tuanku ada sebut bahawa baginda akan memburu semua orang yang korup. Korup itu maksudnya menyalahgunakan kuasa.

“Ampun Tuanku, orang itu yang menyalahgunakan kuasa itu akan mengadap Tuanku setiap minggu sebelum mesyuarat Kabinet,” dakwa Wan Saiful.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul turut meminta Wan Saiful untuk menarik balik dan tidak meneruskan dakwaannya itu di Dewan Rakyat.

Baca juga: Harapan ‘tebuk atap’ makin terkubur, Pemuda Pas tuduh kerajaan yang main politik