Dewan rakyat lulus usul TPPA, 127 sokong  84 menolak

Dewan rakyat lulus usul TPPA, 127 sokong 84 menolak

Mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul mempersetujui penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), melalui undi belah bahagian menyaksikan 127 ahli Dewan Rakyat menyokong manakala 84 lagi menolak.

Mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul mempersetujui penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), melalui undi belah bahagian menyaksikan 127 ahli Dewan Rakyat menyokong manakala 84 lagi menolak.

Seramai 24 anggota Parlimen membahaskan usul itu yang dikemukakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam.

Usul itu antara lain mencadangkan Dewan Rakyat mempersetujui penglibatan Malaysia dalam TPPA yang akan memperkukuhkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global.

Susulan keputusan itu, Dewan Rakyat menyokong keputusan kerajaan bagi Malaysia menjadi sebahagian negara anggota TPPA selepas rundingan perjanjian itu dimuktamadkan pada 5 Oktober 2015 di Atlanta, Amerika Syarikat, selepas lebih lima tahun berunding.

TPPA bukan acuan Amerika Syarikat

TPPA bukan perjanjian perdagangan yang dirangka oleh Amerika Syarikat (AS) semata-mata.

Mustapa  berkata Malaysia antara negara anggota, turut campur tangan dalam merangka draf perjanjian antarabangsa yang juga melibatkan 11 negara lain.

“Malaysia bertanggungjawab dalam menyediakan draf bagi Bab 6, 21, dan 24 yang berkaitan dengan kerjasama dan bina upaya mengenai perusahaan kecil dan sederhana, pembangunan, dan bab-bab yang penting lain yang tidak terdapat dalam mana-mana perjanjian perdagangan.

“Pandangan bahawa Malaysia mengguna pakai templat Amerika Syarikat adalah tidak benar,” katanya ketika menggulung perbahasan usul TPPA bagi kementerian itu pada mesyuarat khas Dewan Rakyat, hari ini.

Lima menteri kabinet lain, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, turut membuat penggulungan masing-masing pada sesi tersebut.

Mustapa juga berkata kuasa-kuasa besar ekonomi seperti AS dan Jepun tidak mempunyai kuasa veto dalam TPPA dan ini tidak akan menjejaskan sistem ekonomi negara kerana Malaysia mengamalkan ekonomi campuran.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Malaysia akan dijajah oleh sistem kapitalis Amerika Syarikat.

“Kita ada intervensi. Ekonomi negara bukan berlandaskan kapitalis dan sosialis, kita berada di tengah-tengah. Jadi TPPA tidak akan mengubah model ekonomi (Malaysia).

“Ini kerana kita terus ada Bumiputera, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, dan juga Rancangan Malaysia ke-11 yang mempunyai satu bab khusus berkaitan dengan B40. Ini bukti jelas di mana model ekonomi kita adalah ekonomi bercampur,” katanya.

Mustapa, yang juga Ahli Parlimen Jeli, menyifatkan perjanjian tersebut adalah komitmen bersama kerajaan Barisan Nasional secara menyeluruh dan bukanlah ‘one man show’ seperti yang di canangkan oleh pihak pembangkang.

Katanya rundingan TPPA selama lima tahun tersebut telah di bawa ke Kabinet sebanyak lebih daripada 40 kali yang turut melibatkan kementerian lain selain Miti.

Setelah dua hari mesyuarat khas pembentangan usul mengenai TPPA di Parlimen, Dewan Rakyat memutuskan untuk meluluskan usul tersebut dengan 127 anggota bersetuju dan 84 tidak setuju.

Malaysia adalah antara 12 negara yang terlibat dalam TPPA bersama Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam

TAGS